Urusetia Lembaga Pengampunan dalam satu kenyataan memaklumkan, sekiranya Najib tidak membayar denda tersebut, tempoh penjara beliau ditambah selama setahun dari tarikh pembebasannya itu.
Berikut adalah kenyataan penuh Lembaga Pengampunan:
KENYATAAN MEDIA
LEMBAGA PENGAMPUNAN BAGI WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR, LABUAN DAN PUTRAJAYA KALI KE-61 2 FEBRUARI 2024 (JUMAAT)
Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah bersidang pada 29 Januari 2024. Sebanyak lima (5) kertas pengampunan termasuk permohonan YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan tersebut yang dipengerusikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar. Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00. Namun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara bagi YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak akan ditambah selama setahun dimana tarikh pembebasan beliau adalah pada 23 Ogos 2029. URUSETIA LEMBAGA PENGAMPUNAN WILAYAH-WILAYAH PERSEKUTUAN, KUALA LUMPUR, LABUAN DAN PUTRAJAYA BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG JABATAN PERDANA MENTERI 24 FEBRUARI 2024
-Anak Sungai Derhaka
No comments:
Post a Comment