Kuala Lumpur: Benarkah sebuah kelab di Lembah Klang kini kepunyaan pemilik dari luar negara yang berpengkalan di China?
Menurut sumber yang menghubungi Arena Metro, pasukan terbabit yang sedang memohon Lesen Kebangsaan bagi membolehkan beraksi di Liga Super musim ini sudah dibeli oleh seorang ahli perniagaan yang berasal dari China.
"Yang saya tahu, KL Rovers sudah ada pemilik dari China dan ia dimuktamadkan awal bulan ini. Malah bayaran juga sudah dibuat cuma kelab belum umumkan secara rasmi lagi," kata sumber.
Perkembangan terbaharu itu menunjukkan saingan Liga Malaysia (Liga M) kini sudah mula menampakkan petanda positif dengan penglibatan pelabur asing bagi memeriahkan kancah liga domestik.
Situasi itu sama seperti liga-liga luar negara khususnya di Eropah apabila kebanyakan kelab dimiliki oleh pemilik luar, sekali gus meningkatkan lagi nilai tambah komersial pasukan.
Ketika ini, kesemua kelab Liga M dimiliki oleh individu tempatan sama ada secara pemilikan tunggal mahupun secara konsortium.
Misalnya pasukan gergasi tanahair iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dimiliki sepenuhnya Tunku Ismail Sultan Ibrahim, manakala Perak FC pula hak milik syarikat telekomunikasi terkenal negara, XOX Berhad.
Selain itu, beberapa kelab Liga M lain mengamalkan konsep pemilikan saham secara bersama antara individu, syarikat swasta, Persatuan Bolasepak Negeri (FA) atau bersama agensi Kerajaan Negeri bagi membentuk sebuah konsortium.
-myMetro
No comments:
Post a Comment