KUALA LUMPUR: Pemansuhan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sukar dilaksanakan berikutan kerajaan ketika ini mempunyai komitmen kewangan yang besar.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, berkata pada masa sama, kerajaan juga perlu mengambil kira komitmen peminjam yang sudah membayar hutang berkenaan.
“Isu PTPTN ini menjadi isu yang agak lama dan semua parti pun meletakkan dalam manifesto masing-masing, termasuk sebelah sini (kerajaan) dan juga yang di sebelah sana (pembangkang).
“Cuma dalam keadaan sekarang ini, memang untuk kita hapuskan (hutang) agak sukar dengan komitmen kerajaan yang begitu besar dan kita juga kena fikirkan, bila kita mahu hapuskan yang belum membayar, kita kena fikirkan juga yang sudah membayar itu.
“Jadi maknanya, komitmen (bayaran) jika tidak silap dalam RM76 bilion yang sudah membayar, jadi kita perlukan dana ini untuk kita buat “rolling” bagi membiayai pendidikan pelajar selepas ini,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) sama ada kementerian merancang untuk mengkaji semula keperluan pemansuhan hutang pinjaman PTPTN secara bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 seperti yang dijanjikan sebelum ini dan tindakan yang bakal diambil kepada peminjam yang gagal melunaskan tunggakan hutang.
Mustapha berkata, kementerian dan PTPTN sedang bekerjasama rapat dengan Unit Pantau MADANI di bawah Kementerian Kewangan bagi mengkaji serta mencadangkan model pembiayaan baharu PTPTN yang lebih efisyen dan mampan untuk jangka masa panjang bagi pembiayaan pendidikan tinggi negara.
Menjawab soalan asal Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai inisiatif kementerian bagi menggalakkan pembayaran balik pinjaman PTPTN, membabitkan tunggakan RM6 bilion oleh 430,000 peminjam, Mustapha berkata, walaupun tindakan penguatkuasaan bayaran balik pinjaman dan sekatan perjalanan kepada peminjam ingkar dihentikan sejak Jun 2018, namun PTPTN mengingatkan peminjam mengenai tunggakan dan tanggungjawab membuat bayaran balik dari semasa ke semasa.
“Selain itu, PTPTN menyediakan insentif tertentu bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik, seperti membenarkan peminjam membuat penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan masing-masing,” katanya.
-BuletinTV3
No comments:
Post a Comment