BAITUMAQQIS/BEIRUT: Hizbullah menembak roket ke arah bandar ketiga terbesar Israel, Haifa, dan Hamas berikrar untuk bangkit semula ketika Israel bersiap sedia memperluaskan serangannya ke atas Lubnan, setahun selepas serangan dahsyat Hamas yang mencetuskan perang Gaza.
Rakyat Israel mengadakan upacara dan protes untuk memperingati ulang tahun pertama serangan 7 Oktober oleh kumpulan pejuang Palestin, Hamas, ke atas Israel ketika konflik Gaza merebak ke seluruh Asia Barat dan menimbulkan kebimbangan terhadap peperangan serantau yang besar.
Hamas, pentadbir Palestin menyaksikan wilayah Gaza dihancurkan oleh perang Israel, berikrar untuk bangkit "seperti phoenix" daripada abu kehancuran walaupun mengalami kerugian besar akibat setahun pertempuran.
Pada Isnin, Hizbollah yang disokong Iran, sekutu Hamas di Lubnan, berkata, ia menyasarkan sebuah pangkalan tentera di selatan Haifa dengan peluru berpandu "Fadi 1" dan melancarkan satu lagi serangan di Tiberias, 65 km (40 batu) jauhnya.
Kumpulan bersenjata itu kemudian berkata ia juga menyasarkan kawasan utara Haifa dengan peluru berpandu.
Tentera Israel, berkata kira-kira 190 peluru memasuki wilayahnya pada hari Isnin dan sekurang-kurangnya 12 mengalami kecederaan.
Tentera Israel berkata tentera udara sedang menjalankan pengeboman besar-besaran ke atas sasaran Hizbullah di selatan Lubnan yang mana dua askarnya terbunuh, menjadikan jumlah kematian tentera Israel di negara jirannya itu meningkat kepada 11 orang.
Serangan udara Israel menyebabkan 1.2 juta orang berpindah ke Lubnan dan mereka meningkatkan kempen pengeboman yang menimbulkan kebimbangan negara itu bakal mengalami kemusnahan besar seperti yang dialami Gaza.
Tentera Israel mengeluarkan amaran dalam bahasa Arab kepada pengunjung pantai dan pengguna bot agar mengelakkan kawasan pantai Lubnon dengan mengatakan mereka akan memulakan operasi menentang Hizbullah dari kawasan pantai dan laut tidak lama lagi.
Kementerian Kesihatan Lubnan melaporkan puluhan kematian, termasuk 10 anggota bomba yang terbunuh dalam serangan udara ke atas bangunan perbandaran di kawasan sempadan negara itu.
Kira-kira 2,000 rakyat Lubnon terbunuh sejak Hizbullah mula menyerang Israel setahun lalu dalam solidariti dengan Hamas, yang mana kebanyakannya terbunuh dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Tentera Israel menggambarkan operasi daratnya di Lubnan sebagai "terhad dan bersasar", namun serangan semakin meningkat sejak minggu lalu.
Pasukan Pertahanan Israel (IDF) berkata matlamat mereka adalah untuk membersihkan kawasan sempadan yang mana pejuang Hizbullah bersembunyi, dan tidak merancang untuk memasuki jauh ke dalam Lubnan.
Sekutu besar Israel, Amerika Syarikat, percaya bahawa operasi darat di Lubnan masih terhad, kata jurucakap Jabatan Negara, Matthew Miller hari ini.
Konflik yang semakin memuncak ini menimbulkan kebimbangan bahawa Amerika Syarikat dan Iran akan terjerumus ke dalam perang yang lebih besar di rantau pengeluar minyak ini.
Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel pada 1 Oktober untuk menyokong Hamas. Israel mengatakan bahawa mereka akan membalas dendam dan sedang menimbang beberapa pilihan terhadap Iran termasuk kemungkinan menyasarkan kemudahan minyak Iran.
Israel mendakwa pejuang Hamas membunuh kira-kira 1,200 orang dan menahan kira-kira 250 tebusan di Gaza sejak 7 Oktober tahun lalu
"Kami sedang mengubah realiti keselamatan di rantau kami, demi anak-anak kami, untuk masa depan kami, bagi memastikan apa yang berlaku pada 7 Oktober tidak berulang lagi," kata Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam mesyuarat kabinet di Jerusalem bagi memperingati ulang tahun perang Gaza.
Perang Israel telah mengubah Gaza menjadi runtuhan, membunuh hampir 42,000 orang dan memindahkan kebanyakan daripada 2.3 juta penduduknya, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin.
Israel berkata, Hamas tidak lagi wujud sebagai struktur tentera yang teratur dan telah beralih kepada taktik gerila.
Pejuang Hamas mewakili sekurang-kurangnya satu pertiga daripada kira-kira 17,000 kematian rakyat Palestin di Gaza, kata pegawai Israel. Kira-kira 350 askar Israel terbunuh dalam pertempuran di Gaza.
Namun begitu, Ketua Hamas dalam buangan, Khaled Meshaal, berkata, kumpulan Palestin itu akan bangkit semula dan terus merekrut pejuang serta menghasilkan senjata.
"Sejarah Palestin terdiri daripada kitaran," kata Meshaal, 68, seorang tokoh senior di bawah kepemiminan Ketua Hamas, Yahya Sinwar, kepada Reuters dalam temu bual memperingati ulang tahun perang Gaza.
"Kami melalui fasa di mana kami kehilangan syahid (mangsa) dan kehilangan sebahagian daripada keupayaan ketenteraan kami, tetapi semangat Palestin akan bangkit semula, seperti phoenix, dengan izin Tuhan."
Meshaal, yang terselamat daripada cubaan pembunuhan oleh Israel pada 1997 selepas dia disuntik dengan racun dan pernah menjadi ketua keseluruhan Hamas dari 1996 hingga 2017, berkata kumpulan militan Islam itu masih mampu melakukan serangan hendap terhadap tentera Israel.
-BH Online
No comments:
Post a Comment