Oleh:Sahibus Samahah Prof Madya Datuk Dr Luqman Abdullah
Kemunculan aliran pemikiran Islam dan ideologi semasa berbentuk ajaran sesat adalah sebahagian daripada permasalahan sosial yang sering melanda dalam negara serta dunia Islam. Penyebaran ajaran sesat secara berleluasa mengakibatkan perpecahan dalam kalangan masyarakat seterusnya meninggalkan kesan yang buruk terhadap kestabilan negara.
Antara faktor tersebarnya ajaran sesat termasuk kejahilan, ketaasuban, kelemahan penguatkuasaan, kepelbagaian platform media sosial dan sebagainya. Klasifikasi utama dalam menentukan ajaran sesat adalah penyelewengan dalam ajaran Islam berkaitan persoalan ketuhanan, kenabian dan perkara ghaib. Penyelewengan setiap ajaran sesat mempunyai punca yang berbeza dan terdapat juga punca serupa.
Dalam menilai sesuatu ajaran sama ada sesat atau tidak, kita perlu kembali kepada panduan umum dalam al-Quran:
"Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (Surah al-Maidah, ayat 8)
Ayat ini menganjurkan kepada semua orang beriman untuk berlaku adil dalam segala perkara. Allah SWT menyarankan agar semua orang beriman dalam membuat pengadilan untuk tidak cenderung dan berpihak kepada sesiapa pun yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan taulan bahkan musuh sekalipun.
Allah SWT juga melarang sikap kebencian kepada sesuatu golongan mempengaruhi keputusan atau tindakan yang dilakukan. Oleh itu, berlaku adil dalam menentukan sesuatu adalah prinsip utama bagi setiap orang yang beriman dengan meninggalkan konflik atau kebencian peribadi. Berlaku adil juga membawa maksud menerapkan hukum-hukum yang sesuai dengan perintah Allah SWT tanpa menyebelahi pihak-pihak tertentu dan melakukan kezaliman terhadap sesiapa pun dalam kalangan mereka.
Bertitik tolak daripada hal ini, penilaian terhadap ajaran sesat tidak boleh dilakukan secara terburu-buru atau hanya berdasarkan sentimen.
Sebelum mengambil penentuan hukum atau fatwa, segala bukti dan kajian yang mencukupi perlu dikumpulkan bagi mengesahkan kebenaran. Kekuatan maklumat dalam risikan juga berperanan untuk memastikan segala bukti dan kajian diperoleh dengan sempurna.
Dengan keadaan demikian, bersikap adil dan berhati-hati dapat menjamin penilaian terhadap sesuatu ajaran sesat.
Bagi ajaran sesat yang telah difatwakan dalam warta kerajaan negeri atau Persekutuan, mana-mana pihak berautoriti boleh mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap golongan yang terlibat atau pihak yang dikaitkan dengan ajaran tersebut. Antaranya termasuk Jabatan Agama Islam Negeri (Jain) yang mempunyai kuasa melakukan penyiasatan dan pendakwaan kepada pihak terbabit.
Dalam konteks ini Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai sebuah agensi agama persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga berperanan iaitu membuat penyelarasan dalam kerja membendung ajaran sesat.
Berkaitan dengan jenayah seperti jenayah terancang dan jenayah seksual, maka ia memerlukan siasatan serta tindakan pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memiliki kepakaran siasatan dan forensik. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pula boleh bertindak dalam siasatan berhubung dengan salah laku di dalam media sosial. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula menjalankan tugas bagi lima teras utama iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian terhadap kumpulan sasar yang terlibat dalam ajaran sesat dan meragukan.
Dalam hal ini Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) sentiasa komited untuk membendung ajaran sesat dalam bidang kuasa yang diberikan iaitu kefatwaan yang tertakluk kepada prosedur dan kaedah dalam penentuan hukum sebagaimana yang terdapat dalam peraturan, kaedah-kaedah dan akta yang berkuat kuasa di Wilayah Persekutuan.
Dalam menangani perkara ini, JMWP sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan termasuk Jakim.
Masyarakat dinasihatkan memberi kepercayaan kepada pihak berautoriti yang berkaitan sama ada peringkat negeri atau Persekutuan dalam menguruskan isu yang berkait dengan ajaran sesat. Pada yang sama, masyarakat digalakkan memberi pandangan membina serta berkongsi maklumat dengan menggunakan saluran yang sesuai bagi membantu pihak berautoriti.
Penulis Mufti Wilayah Persekutuan
-myMetro
No comments:
Post a Comment