Tulisan ini dikongsikan oleh ahli pasukan kami melalui whatsapp. Dia selamat dilepaskan dari kepungan di sana semalam :
..................................................................................................................................
Assalamualaikum, apa khabar adik-beradik saya?
Alhamdulillah saya, ibu dan anak saya selamat. Ayah saya diculik penjajah, suami saya tak tahu khabarnya kerana dia masih di utara, moga kami dapat kembali ke sana semula.
Semalam kami anggap macam hari qiamat saat kami duduk bertindih-tindih di atas satu sama lain, saya doakan kalian tak akan melalui apa yang kami lalui semalam. Mati sentiasa di hadapan mata dan saya berkali-kali merayu kepada tentera penjajah, ambil saja nyawa kami supaya kami tak terus menanggung azab.
Mereka meletakkan wanita di sekolah dan lelaki di tempat lapang lalu dikepung lelaki dengan benteng-benteng pasir. Kami hanya dapat mendengar jeritan dan suara kesakitan mereka menggelupur disiksa. Wanita yang berada di sekolah pula menjerit dengan sekuat hati memanggil nama anak-anak lelaki dan suami mereka yang sedang diazab sehingga koyak-rabak tubuh mereka. Pada masa sama kereta kebal meledakkan peluru ke arah kami, diikuti tembakan dron dan sniper.
Kemudian kereta kebal mengiringi kami ke sekatan pertama sambil tembakan menakutkan dilepaskan di atas kepala kami, tentera penjajah juga tak putus mencaci dan menghina kami dengan bermacam cacian. Mereka menakutkan kami dan mengatakan, ucapkan selamat tinggal kepada suami kamu, kamu tak akan jumpa suami kau lagi. Ucapkan selamat tinggal kepada utara Gaza, utara Gaza dah jadi milik kami. Dan mereka memaki negara-negara Arab, mereka sebutkan hah nangislah, nangislah, mana umat Islam yang nak bantu kau? Semuanya dah dalam poket kami.
Kemudian kami dibawa ke sekatan kedua di dalam lubang besar yang dikelilingi benteng pasir dan kereta kebal yang mengepung, sniper pula berjaga di bangunan-bangunan sekitar lubang. Tentera penjajah berada di celah-celah kami, menembak menakutkan kami dan memukul kami dengan senjata mereka. Kereta kebal pula mundar-mandir sehingga asap tebal dan pasir yang terbang membuatkan kami sesak nafas dan tak dapat melihat apa-apa di hadapan kami. Ibu saya dan anak saya terbenam di bawah pasir lalu saya menggali pasir dengan kedua-dua tangan walaupun tak melihat apa-apa untuk memastikan mereka tak mati tertanam hidup-hidup.
Kemudian kami dibawa ke sekatan ketiga pula di mana kami ditelanjangkan, tiada seurat benang pun di tubuh kami.
Setiap inci tubuh, rambut dan pakaian kami digeledah dan disentuh entah untuk mencari apa oleh pasukan infantri mereka. Kami berjalan dan melihat segala bentuk penyiksaan tanpa ada sesiapa pun bertanya tentang kami, dari jam 6 subuh sehingga 4 petang tak ada sesiapa yang melihat apa yang berlaku kepada kami.
Untuk mengatakan kami hidup semula setelah mati adalah terlalu kecil untuk menggambarkan apa yang kami lalui, kalaulah kami dibunuh ia adalah lebih mulia untuk kami. Aku malu dengan diri sendiri, bagaimana mereka berjaya mengeluarkan kami dari utara Gaza, tempat aku bertahan selama satu tahun satu bulan, aku sudah berazam tak akan meninggalkannya tetapi mereka berjaya juga menghalau kami keluar akhirnya.
...................................................................................................................................
Kisah dikongsikan oleh salah seorang ahli pasukan CGM kepada kami semalam. WAJIB kita berkongsi kisah ini seluasnya sebagai amanah daripada ahli pasukan kami tersebut dan seluruh penduduk Jabalia dan G yang masih berdepan pembunuhan dan kepungan sehingga saat ini.
Semoga Allah mengampunkan kita.
No comments:
Post a Comment