BEIRUT: Israel membunuh sekurang-kurangnya 22 orang dalam serangan udara di utara Lubnan ketika memperluaskan sasaran membabitkan lokasi Hizbullah manakala jutaan penduduk Israel berlindung daripada serangan balas pejuang Hizbullah.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berikrar untuk menyerang Hizbullah tanpa belas kasihan, sehari selepas serangan paling berdarah oleh kumpulan yang disokong Iran itu ke atas Israel sejak perang bermula pada akhir September.
Serangan dron Hizbullah ke atas pangkalan Israel pada Ahad mengorbankan empat askar, manakala penyelamat sukarelawan melaporkan 60 orang lagi cedera.
"Kami akan terus menyerang Hezbollah tanpa belas kasihan di semua bahagian Lubnan termasuk Beirut," kata Netanyahu semasa lawatan ke pangkalan berhampiran Binyamina, selatan Haifa.
Setakat ini, tumpuan utama operasi ketenteraan Israel di Lebanon adalah di selatan, Lembah Bekaa di timur dan pinggir bandar Beirut.
Menurut Kementerian Kesihatan Lebanon, selain 22 kematian, seramai lapan orang dilaporkan cedera.
Datuk Bandar Aitou, Joseph Trad berkata, serangan berlaku di bandar yang majoriti penduduknya Kristian dan terkena sebuah rumah yang disewa kepada keluarga yang terpaksa melarikan diri selepas kediaman mereka musnah.
Pekerja penyelamat masih meneruskan pencarian di tapak serangan dengan menyelongkar timbunan sisa runtuhan.
Israel mengarahkan penduduk di 25 kampung di selatan Lebanon untuk berpindah ke kawasan utara Sungai Awali, kira-kira 60 km (35 batu) di utara sempadan Israel.
Di Israel, penduduk bergegas ke tempat perlindungan apabila siren dibunyikan dan tentera Israel melaporkan tiga peluru dari Lubnan berjaya dipintas dan tiada kecederaan dilaporkan.
Dalam satu kenyataan, tentera Israel berkata kira-kira 115 peluru ditembak oleh Hizbullah dari Lubnan ke Israel semalam.
Konflik antara Israel dan Hizbullah disambung semula setahun yang lalu apabila kumpulan itu mula melancarkan roket ke arah Israel untuk menyokong pejuang Palestin, pada permulaan perang Gaza.
Konflik itu semakin memuncak sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 2,309 orang di Lubnan sejak setahun lalu, menurut kerajaan Lebanon dalam kemas kini hariannya.
Tentera Israel mendakwa mereka sudah membunuh komander unit peluru berpandu anti-kereta kebal Pasukan Elit Radwan Hizbullah, Muhammad Kamel Naim, dalam satu serangan di kawasan Nabatieh di selatan Lebanon.
Di Gaza, meskipun operasi ketenteraan Israel semakin meningkat di kawasan tengah dan utara, pusingan kedua kempen vaksinasi polio untuk ratusan ribu kanak-kanak bermula pada Isnin.
Dengan peperangan di sana dan di Lubnan yang tidak menunjukkan tanda-tanda reda, kebimbangan mengenai konflik serantau yang lebih meluas telah menyaksikan Iran, yang menyokong Hizbullah dan Hamas, terlibat dalam usaha diplomatik dengan sekutu dan kuasa-kuasa lain.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, bertemu seorang pegawai kanan daripada pergerakan Houthi yang disokong Iran di Yaman, di Oman, sebagai sebahagian daripada lawatan diplomatik serantau.
Raja Jordan, Raja Abdullah II, memberi amaran mengenai 'peperangan serantau yang akan membawa kos tinggi kepada semua pihak', semasa pertemuan dengan Perdana Menteri Lubnan, Najib Mikati, pada Isnin. - AGENSI
No comments:
Post a Comment