Sebelum ini, media ada melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar mengesahkan bahawa Kabinet bersetuju Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 [RUU Mufti WP] dibentangkan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen yang bermula semalam.
Namun, ada pihak yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan dan memberi tanggapan tidak benar terhadap RUU Mufti WP 2024 itu.
Antaranya, ia akan mengubah Malaysia menjadi sebuah negara Islam dalam sekelip mata; melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63); merupakan serangan secara langsung terhadap sistem sekular di negara ini; didakwa bertujuan memperluas kuasa mufti di Wilayah Persekutuan; mengetepikan sistem Raja Berperlembagaan, kerajaan Madani dan demokrasi berparlimen sekular yang menjadi asas Malaysia.
Malah, ada juga pihak mendakwa RUU Mufti WP yang dicadangkan itu akan memberikan kuasa tanpa batasan dan kekebalan undang-undang kepada pihak berkuasa agama; memberikan kuasa luas kepada mufti, yang membolehkan fatwa dikeluarkan dan memberi kesan besar kepada umat Islam dan bukan Islam; boleh memintas kuasa Parlimen dan mahkamah, meletakkan undang-undang agama di atas undang-undang sivil dan sebagainya.
Justeru, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) memperbetulkan tanggapan tidak bijak pihak berkenaaan.
Rang Undang-Undang Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 (RUU Mufti WP) bukan undang-undang baharu. Intipati yang terkandung dalam RUU Mufti WP ini sebahagiannya sedia ada dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505) di Bahagian III (Seksyen 32 hingga 39).
2. RUU Mufti WP dikemukakan sebagai undang-undang yang berasingan daripada Akta 505, bertujuan untuk memperjelaskan dan memperkukuhkan institusi mufti dan kefatwaan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kuala Lumpur dan Labuan. Di Sabah dan di Kedah, undang-undang berasingan seperti RUU WP ini juga sudah sedia wujud iaitu Enakmen Fatwa Negeri Sabah 2004 dan Enakmen Mufti dan Fatwa (Kedah Darul Aman) 2008.
3. RUU Mufti WP hanya terpakai untuk orang Islam (sahaja) dan untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan (sahaja). Pemakaiannya tidak boleh melangkaui ke negeri lain dalam Malaysia. Sub-seksyen 1 (2) RUU Mufti WP dengan jelas memperuntukkan perkara itu.
RUU Mufti WP dibawa ke Parlimen dan dinamakan akta kerana kuasa membuat undang-undang bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan adalah terletak di bawah kuasa Parlimen, sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 3 (5) Perlembagaan Persekutuan. Ia bukan untuk pemakaian di seluruh negara atau Sabah Sarawak.
5.Tiada tekanan atau paksaan untuk RUU Mufti WP diterima pakai di Negeri-Negeri. Dewan Undangan Negeri (Dun) kekal mempunyai kuasa tersendiri seperti yang dinyatakan dalam Perkara 74 (2) Perlembagaan Persekutuan.
6. Demokrasi berparlimen langsung tidak tersentuh jika sekiranya RUU Mufti WP ini diluluskan oleh Parlimen. Apa-apa pindaan atau tambahan terhadap RUU Mufti WP selepas ini tetap perlu dibawa kedua-dua dewan Parlimen (Dewan Rakyat dan Dewan Negara) untuk dibahaskan sebelum diluluskan.
7. RUU Mufti WP tidak mengetepikan sistem Raja Berperlembagaan kerana dalam seksyen 3 RUU Mufti WP jelas menyebutkan kuasa melantik dan membatalkan pelantikan mufti dan timbalan mufti bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan masih dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, yang merupakan Ketua Agama Islam di Wilayah-Wilayah Persekutuan. Sub-seksyen 10 (3) RUU Mufti WP juga jelas menyebutkan apabila sesuatu fatwa yang sudah dibincangkan oleh Jawatankuasa Fatwa dan dipersetujui, mufti hendaklah membuat syor kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda bagi penyiaran fatwa itu dalam warta.
8. RUU Mufti WP tidak memberikan kuasa tanpa batasan atau kekebalan undang-undang kepada mufti kerana:
l
RUU Mufti WP tidak terpakai kepada orang bukan Islam;
l
Hanya orang Islam yang mengingkari atau melanggar atau mempertikaikan fatwa yang diwartakan boleh dikenakan tindakan undang-undang;
l
Suatu fatwa yang tidak diwartakan tidak mengikat dan tidak mempunyai implikasi perundangan. Ia hanya perlu dihormati dan menjadi panduan hukum syarak bagi orang Islam di negeri berkenaan. (sub-seksyen 10 (6) RUU Mufti WP);
l
Walaupun dalam sub-seksyen 11 (b) RUU Mufti WP memperuntukkan suatu fatwa yang diwartakan hendaklah 'diiktiraf' oleh mana-mana mahkamah berkenaan dengan semua perkara yang dinyatakan dalam fatwa itu, namun mahkamah tidak terikat dengan fatwa yang diwartakan itu. Ini adalah kerana kuasa untuk mentafsir undang-undang itu masih terletak di tangan mahkamah;
l
Mahkamah syariah masih berhak untuk berijtihad dalam kes-kes di hadapannya. Suatu fatwa yang dikeluarkan oleh mufti lebih kepada persoalan umum, yang memerlukan penentuan dan penetapan hukum syarak. Berbeza keadaannya, isu dan persoalan di hadapan mahkamah syariah lebih bersifat khusus kepada permasalahan pihak yang hadir di hadapannya, dengan mendengar dan mengambil keterangan dalam pemeriksaan terhadap pihak-pihak, saksi-saksi dan penelitian terhadap kepada dokumen yang ditenderkan kepada mahkamah. Terdapat kes yang menjadikan fatwa dan pendapat mufti sebagai rujukan serta diterima dalam penghakiman, tetapi ada juga kes yang memutuskan sebaliknya;
l
Dakwaan bahawa RUU Mufti WP memberikan mufti kekebalan undang-undang adalah tidak benar. Walaupun sub-seksyen 15 (3) RUU itu menyatakan mufti tidak boleh dipanggil atau disaman untuk memberikan pendapat atau keterangan atau menjadi saksi bagi satu-satu perbicaraan yang berhubungan dengan hukum syarak di mana-mana mahkamah, namun affidavit atau keterangan bertulis mufti sebagai pendapat pakar masih boleh diterima di mahkamah. Peruntukan ini bertujuan untuk menjaga maruah dan peribadi mufti daripada bersoal jawab di mahkamah, yang terbuka kepada pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas, yang mana ia boleh menjejaskan kredibiliti dan merendahkan kedudukan mufti sebagai penasihat kepada YDP Agong atau Raja-Raja Melayu.
l
Sekiranya berlaku sebarang kekhilafan atau kekeliruan terhadap sesuatu fatwa yang sudah dan diwartakan, mufti atas inisiatifnya sendiri atau atas permintaan mana-mana pihak, selepas berunding dengan Jawatankuasa Fatwa, meminda, mengubah suai atau membatalkan mana-mana fatwa yang sudah dikeluarkan (seksyen 12 RUU Mufti WP). Tatacara meminda, mengubah suai atau membatalkan sesuatu fatwa adalah jauh lebih mudah kerana ia tidak perlu di bawa ke Parlimen.
Oleh itu, PGSM berpandangan, dakwaan dan hujah yang dikemukakan sesetengah pihak ini mungkin bertujuan mengaburi pandangan masyarakat untuk menentang RUU Mufti WP itu serta mengaburi Ahli Parlimen untuk menolak RUU ini ketika pembentangan untuk bacaan kali kedua dan ketiga pada sidang Parlimen Oktober ini.
Justeru, PGSM menyeru semua masyarakat dan Ahli Parlimen mendapatkan maklumat tepat dan menyokong RUU Mufti WP berkenaan.
Penulis Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
No comments:
Post a Comment