KUALA LUMPUR – Isu berkaitan kewujudan Titah Adendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 ke atas seorang tokoh berpengaruh menjadi perdebatan hangat apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mempertikaikan perkara itu dibangkitkan.
Menurut Rayer, Datuk Seri Takiyuddin Hasan (PN-Kota Bharu) tidak seharusnya mempersoalkan tindakan Agong berhubung perkara itu lebih-lebih lagi beliau merupakan seorang peguam yang tahu berkaitan undang-undang.
Beliau kemudiannya meminta peraturan dewan dikeluarkan di bawah peruntukan 38 (8) bahawa ahli dewan tidak boleh membahaskan mengenai kelakuan atau sifat Yang di-Pertuan Agong.
“Kota Bharu banyak kali merujuk kepada sifat dan kelakuan Yang di-Pertuan Agong…tolong tarik balik. Jangan pertikaikan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Pertikaman lidah antara wakil kerajaan dan pembangkang itu dipercayai berkaitan dengan bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Takiyuddin mempersoalkan kezahiran sama ada proses pengampunan menerusi Titah Adendum yang dikatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi benar-benar dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu.
Takiyuddin mengulangi beberapa kali persoalan, sama ada Titah Adendum itu benar-benar wujud.
“Tak mungkin perdana menteri dan menteri dalam dewan tak mengetahui wujud atau tidak adendum ini,” ujarnya.
Susulan itu, Timbalan Speaker, Alice Lau meminta supaya perkara itu tidak dibahas.
Sementara itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) tampil mempertahankan Takiyuddun dengan mempersoalkan adakah adendum yang disebut Ahmad Zahid itu dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Itu bukan menuduh Agong tapi itu yang dikatakan. Adakah ini salah. Ini adalah untuk beri penjelasan kepada semua termasuk Jelutong supaya Jelutong boleh bangun,” katanya.
Sidang dewan kemudian berhenti untuk makan tengahari sebelum bersambung semula pada pukul 2.30 petang.
Sebelum ini media melaporkan, Ahmad Zahid disahkan sebagai ‘saksi kritikal’ yang menyokong dakwaan Najib mengenai kewujudan Titah Adendum atau tambahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, supaya dia menghabiskan baki hukuman penjara dengan tahanan di rumah.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menyokong dakwaan berkenaan menerusi afidavit yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 April lalu.
Najib, 70, sebelum ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar kewujudan Titah Adendum berkenaan.
Ahmad Zahid turut mendakwa, beliau diberitahu mengenai kewujudan titah itu oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam pertemuan di rumahnya di Country Heights, Kajang pada 30 Januari lalu. – MalaysiaGazette
No comments:
Post a Comment