Wan Saiful Wan Jan (kiri) – malayadaily.com
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Yang Berhormat Datuk Wan Saiful Wan Jan memberitahu bahawa Dewan Rakyat dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan telah mendapati beliau tidak mengelirukan dewan berkaitan ucapannya pada Feb dan Mac lalu.
Dalam satu kenyataan, Wan Saiful yang juga Ahli MPT Bersatu berkata, ketika memberi keterangan, beliau telah memberikan kronologi dan bukti-bukti yang menyokong keterangannya.
“Pada 6 September 2024, saya telah dipanggil untuk memberi keterangan. Saya bercakap hampir 2 jam 30 minit, membentangkan kronologi mengenai apa yang berlaku. Sebagai bukti, saya turut mainkan rakaman audio dan saya tunjukkan gambar, serta tangkap layar mesej whatsapp. Saya juga berkongsi identiti individu-individu yang menemui saya.
“Bukti-bukti itu semuanya menunjukkan bahawa memang ada pihak bertemu saya dan memang ada tawaran dibuat.
“Hasilnya Jawatankuasa mendapati saya tidak mengelirukan Dewan. Ujar beliau.
Namun beliau menzahirkan rasa terkilan kerana Jawatankuasa tidak mengeluarkan hansard penuh untuk bacaan umum.
“Cuma saya terkilan kerana Jawatankuasa tidak mengeluarkan hansard penuh ucapan saya selama hampir 2 jam 30 minit dalam prosiding Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Jika teks ucapan itu dikeluarkan sebagai hansard, maka semua bukti akan jadi rekod rasmi yang boleh dibaca sendiri oleh seluruh rakyat Malaysia.
Memetik laporan Scoop, jawatankuasa itu mendapati ucapan Wan Saiful pada 28 Februari dan 21 Mac di Dewan Rakyat telah disokong dengan bukti-bukti dan turut mengesyorkan supaya laporan rasmi dibuat dengan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Dalam keterangan yang diberikan oleh Wan Saiful kepada jawatankuasa berkenaan, beliau memberitahu beberapa individu telah memberikan tawaran supaya menyokong Perdana Menteri dengan antara tawaran yang dijanjikan ialah menggugurkan tuduhan di mahkamah, menanggung kos perubatan isteri, kos guaman, memberi peruntukan Parlimen dan peruntukan projek rakyat. – malayadaily.com
No comments:
Post a Comment