Astana: Video dirakam oleh seorang penumpang di dalam pesawat Embraer 190 Azerbaijan Airlines, yang dikongsi secara meluas di media sosial, menunjukkan detik-detik terakhir sebelum pesawat itu terhempas di Kazakhstan, semalam.
Dalam kejadian itu, 38 daripada 67 orang terbunuh dalam nahas berhampiran Aktau, hab minyak dan gas di pantai timur Laut Caspian.
Kementerian situasi kecemasan Kazakhstan melaporkan bahawa "29 mangsa yang terselamat, termasuk tiga kanak-kanak dimasukkan ke hospital."
Azerbaijan Airlines melaporkan 67 orang berada di dalam pesawat itu, dengan 62 daripadanya penumpang, manakala lima lagi anak kapal.
NDTV melaporkan, dalam video itu, penumpang kedengaran berkata "Allahu Akbar" (Allah Maha Besar) ketika pesawat itu terbang pada ketinggian rendah secara mendadak.
Kelihatan topeng oksigen kuning tergantung di atas kerusi. Jeritan dan tangisan kedengaran, di tengah-tengah bunyi seperti bunyi lampu 'pakai tali pinggang keledar'.
Pesawat itu terbang dari ibu kota Azerbaijan, Baku di pantai barat Caspian ke bandar Grozny di Chechnya di selatan Rusia. Azerbaijan Airlines berkata pesawat itu "melakukan pendaratan cemas" sekitar tiga kilometer dari Aktau.
Satu lagi video yang diambil di dalam kabin menunjukkan panel siling pesawat yang mempunyai lampu membaca dan lubang penyaman udara dalam keadaan terbalik, turut menunjukkan orang ramai menjerit meminta tolong. Video itu jelas menunjukkan keadaan selepas pesawat itu terhempas.
Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung negara.
Presiden Rusia Vladimir Putin mengadakan perbualan telefon dengan Aliyev dan juga "menyatakan takziah berhubung kemalangan itu", jurucakapnya Dmitry Peskov memberitahu sidang akhbar.
Kementerian situasi kecemasan Rusia dihantar ke Aktau dengan kakitangan perubatan dan peralatan lain, kata Presiden Putin, di Saint Petersburg.
Pemimpin Chechnya, Ramzan Kadyrov berkata di Telegram: "Saya mengucapkan takziah kepada saudara-mara penumpang jet Azerbaijan Airlines yang meninggal dunia."-myMetro
No comments:
Post a Comment