Dalam masa kurang dari 24 jam, Malaysia akan menyaksikan beberapa perubahan besar yang akan memberi impak langsung atau tidak langsung kepada kehidupan rakyatnya.
Selain daripada perubahan dalam geopolitik dan ekonomi, beberapa peraturan dan dasar baru juga akan dikuatkuasakan mulai tengah malam ini.
Pastikan anda tidak terlepas maklumat penting yang boleh mempengaruhi kehidupan seharian anda.
Antara peristiwa besar yang akan berlaku esok, Malaysia akan secara rasmi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN.
Tanggungjawab ini diserahkan oleh Laos selepas sidang kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 pada 11 Oktober lalu di Vientiane.
Dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia akan menjadi tuan rumah lebih 300 mesyuarat dan sidang kemuncak ASEAN sepanjang tahun ini.
Antara pertemuan penting termasuk Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN yang akan diadakan di Johor pada Februari, serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober.
Selain itu, beberapa undang-undang baru juga akan berkuat kuasa mulai esok. Antaranya, penguatkuasaan Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) yang mewajibkan platform media sosial untuk mendaftar lesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). Akta ini bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian dan melindungi pengguna, khususnya golongan kanak-kanak dan yang rentan.
Selain itu, premis dobi dan tempat kerja kini tersenarai sebagai kawasan larangan merokok, setelah penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 pada 1 Oktober lalu.
Ini menjadikan 28 kawasan sebagai tempat larangan merokok, termasuk hospital, klinik, lapangan terbang, kompleks beli-belah, dan banyak lagi. Mereka yang didapati bersalah merokok di kawasan ini boleh dikenakan denda sehingga RM5,000.
Bagi sektor peniaga dan penjaja, mereka diwajibkan untuk mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula esok, sebagai langkah untuk menyediakan perlindungan kewangan sekiranya berlaku bencana kerja.
Satu lagi berita baik ialah kenaikan subsidi tiket penerbangan FLYsiswa, yang kini dinaikkan daripada RM300 kepada RM400, bertujuan membantu sekitar 60,000 mahasiswa yang akan menggunakan penerbangan domestik. Mahasiswa boleh menyemak kelayakan mereka melalui laman web rasmi bermula esok.
Di sektor pengangkutan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan pembayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi pembelian tiket di sektor Lembah Klang, Utara, Selatan, dan Pantai Timur, untuk menyokong ekonomi digital negara.
Mulai 1 Januari juga, semua taman asuhan kanak-kanak yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat perlu memaparkan nombor pendaftaran mereka di premis masing-masing, sebagai tanda keyakinan kepada ibu bapa tentang status mereka.
Di bidang korporat, kriteria pengecualian audit penyata kewangan untuk syarikat persendirian juga akan dikuatkuasakan esok, bagi memudahkan pematuhan dan meningkatkan kualiti pengauditan.
Selain itu, satu perubahan besar yang dijangka berlaku pada 1 Januari 2025 adalah pelaksanaan semula cuti hujung minggu pada Sabtu dan Ahad di Johor. Ini berikutan titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, pada 7 Oktober lalu.
Dengan ini, hanya tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang masih mengekalkan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu.
Sabah pula bakal menyaksikan pelantikan bekas Ketua Menteri Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri yang baru. Musa menggantikan Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatannya setelah menjawat jawatan tersebut sejak 2011.
-Info Rakyat
No comments:
Post a Comment