Menteri belia dan sukan itu mempertahankan dirinya di sebalik gesaan meletak jawatan Kabinet.
Hannah Yeoh mendakwa dirinya menjadi sasaran 'pelampau agama'.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mempertahankan dirinya selepas petikan daripada buku karangannya, di mana beliau mengaku memainkan peranan sebagai "duta Tuhan", tersebar luar susulan keputusan kes fitnah terhadap bekas ketua polis Musa Hassan.
Yeoh, yang terlibat dalam kontroversi melibatkan urusan perniagaan suaminya dengan kerajaan Selangor, baru-baru ini gagal dalam saman fitnah terhadap Musa berhubung kenyataan di sebuah forum empat tahun lalu yang mendakwa di mana pemimpin DAP itu dikatakan mempunyai kaitan dengan golongan evangelis yang boleh menggugat Islam di Malaysia.
Ahli Parlimen Segambut itu berkata akan membuat laporan polis berhubung "mesej-mesej dan video-video Whatsapp yang bersebaran di luar sana yang telah mempolitikkan keputusan ini", sambil menambah ia merupakan kerja "pelampau agama".
"Sepertimana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan saya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana," tambahnya.
Yeoh berkata beliau menghormati status Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Terdapat sekatan undang-undang yang jelas terhadap penyebaran agama selain Islam kepada umat Islam di Malaysia. Saya telah mengangkat Sumpah Jawatan saya serta bersumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Ianya adalah Sumpah yang saya ambil dengan serius dan akan saya patuhi pada setiap masa," katanya.
Sementara itu, pelbagai pihak menggesa Yeoh dilucutkan daripada Kabinet.
Antaranya kumpulan Gerakan Pembela Ummah yang menggesa beliau meletak jawatan.
"Pihak terbabit juga perlu bertanggungjawab dalam setiap tindakan yang diambil terutama ketika melibatkan isu-isu yang boleh merosakkan reputasi dan kepercayaan rakyat terhadap pemimpin kerajaan," kata kumpulan itu.
Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin pula menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan tegas terhadap Yeoh, sambil menambah pemimpin DAP itu telah melanggar undang-undang menghalang pengembangan agama bukan Islam di kalangan umat Islam.
"Sehubungan itu, Bersatu ingin menyembah perkara ini kepada pengetahuan dan perhatian Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Melayu dan Majlis Raja-raja Melayu," katanya.
Pada Isnin, peguam Musa dalam mengalu-alukan keputusan mahkamah berkata Yeoh sendiri telah mengaku dalam bukunya "Becoming Hannah" bahawa beliau "mengajar agama Kristian secara halus" di Malaysia sekembalinya dari pengajian di luar negara, di samping mengaku memainkan peranannya sebagai "duta Tuhan" dalam
"menyebarkan ajaran Tuhannya melalui jawatan politik".
Beberapa petikan penulisan Yeoh yang menjadi sebahagian daripada hujah pembelaan kemudian tersebar luas di media sosial dan mencetuskan perdebatan mengenai kesesuaiannya untuk kekal dalam Kabinet.
"Saya juga merasakan bahawa politik membawa saya jauh dari impian sebenar saya, iaitu untuk menjadi seorang pendakwah. Tetapi jika saya tidak mematuhi panggilan Tuhan, saya tidak akan mempunyai peluang untuk berdakwah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda, seperti apa yang saya mampu buat sekarang.
"Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia demi untuk membetulkannya. Dia sedang mencari lelaki dan wanita bertaqwa yang sanggup menggulung lengan baju mereka dan bekerja dalam bidang yang sangat mencabar ini.
Artikelv Berkaitan: Pengakuan Hannah sebagai 'duta Tuhan' antara asas mahkamah tolak saman terhadap bekas IGP, kata peguam
"Tuhan tahu Hasrat hati saya untuk berdakwah dan berkhidmat kepada-Nya. Dan Dia membuat ia berlaku melalui jawatan politik saya," menurut terjemahan beberapa petikan buku Yeoh.
Yeoh turut menulis dalam bukunya mengenai keahliannya dalam sebuah kumpulan Kristian ketika menuntut di Australia, Felo Kristian Seberang Laut (OFC) yang melatih ahlinya untuk mendekati orang ramai selepas kembali ke negara asal mereka.
"Aspirasi OFC ... yang dikendalikan dan dipimpin oleh pelajar adalah 'Mendekati, Melatih dan Menghantar Pulang'.
"Ia ditekankan dengan sangat jelas kepada semula ahli OFC Australia bahawa selepas menyelesaikan pengajian kami, kami harus kembali semula ke negara asal sebagai 'duta Tuhan' dan menjadi pengikut kepada yang lain," tulis Yeoh dalam bukunya seperti mana dipetik peguam Musa.
Yeoh tidak asing dengan kontroversi melibatkan dakwaan cuba menyebarkan dakyah Kristian.
Hanya empat bulan selepas pelantikannya sebagai menteri, beliau dikecam kumpulan Islam apabila mempertahankan program melawat gereja yang dianjurkan sebuah agensi yang dikaitkan dengan kementeriannya.
Program anjuran Impact Malaysia di bawah Projek Artikel 11 itu turut diserang Pemuda Umno dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais), sementara PAS bersetuju dengan program seumpama itu dengan syarat ia melibatkan pakar Islam.
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment