PUTRAJAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang melaksana kajian bagi memberi peluang kepada penjawat awam pangkat rendah, tetapi mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi seperti tahap diploma dan ijazah untuk diberi kenaikan pangkat dalam Fasa 2 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata kajian dijalankan itu termasuklah tuntutan dibuat Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan-Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS).
"Mengenai tuntutan AUEGCAS, saya ingin menyatakan bahawa JPA sudah meneliti perkara terbabit sebelum pelaksanaan SSPA. Malah, beberapa sesi libat urus dijalankan, penjelasan sudah dibuat dalam beberapa siri pertemuan dan perbincangan.
"Untuk makluman, semakan dan penambahbaikan sentiasa dilakukan secara berterusan. Tuntutan AUEGCAS supaya memberi peluang kepada pegawai awam mempunyai kelayakan akademik seperti diploma dan ijazah diberi kenaikan pangkat, sedang dalam kajian Fasa 2 SSPA," katanya kepada BH semalam.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung AUEGCAS, Amir Hamzah Yakat Ali, yang mendakwa kira-kira 350,000 pembantu tadbir dalam sektor awam masih kekal pada Gred Lantikan 1 Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) atau Gred 19 Skim Saraan Malaysia (SSM), yang menyebabkan laluan kerjaya mereka tersekat dengan tangga gaji rendah.
Amir Hamzah mendakwa, situasi itu membabitkan pembantu tadbir dalam tugasan pentadbiran dan kewangan sektor awam membabitkan Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Pembantu Tadbir (Kewangan), Pegawai Khidmat Pelanggan, Pembantu Akauntan, Pembantu Setiausaha Pejabat dan Pembantu Pengurusan Murid.
Ini kerana sejak 1950, syarat lantikan pembantu tadbir mengguna Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan syarat itu kekal sehingga kini, walaupun penjawat awam sekarang melaksanakan tugasan beraras tinggi dan kebanyakan mereka juga ada kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), diploma, ijazah sarjana muda, selain pengalaman berkhidmat yang lama.
Beliau berkata, keadaan itu menyebabkan laluan kerjaya mereka tersekat dengan tangga gaji rendah, selain berhadapan pertindihan gred penyeliaan.
Suarakan isu lebih 20 tahun
Susulan itu, katanya, AUEGCAS menuntut kerajaan menyemak semula SSPA dengan melakukan penambahbaikan terhadap Skim Perkhidmatan Pembantu Tadbir demi kemakmuran dan keharmonian 350,000 penjawat awam seluruh negara.
"Antara penambahbaikan skim perlu dilakukan adalah syarat lantikan perkhidmatan pembantu tadbir yang masih menggunakan SPM sejak 1950-an, ditukar kepada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma atau setaraf.
"Kami sudah menyuarakan isu ini selama lebih 20 tahun melalui kertas kerja mahu pun sesi libat urus supaya syarat lantikan kami diubah daripada SPM kepada STPM atau diploma dan setaraf dengannya, namun sehingga kini ia tidak dapat direalisasikan," dakwanya.
Amir Hamzah berkata, tugas pembantu tadbir kini semakin bertambah dan perlu mempunyai kemahiran pelbagai kerana tanggungjawab mereka tidak lagi terhad kepada tugas pentadbiran biasa, sebaliknya turut merangkumi pelbagai bidang yang memerlukan kepakaran khusus.
"Skop tugasan pembantu tadbir kini semakin meluas, sama dengan tugas penolong pegawai tadbir. Kami dilatih untuk mahir dalam perundangan, pekeliling serta peraturan bagi memastikan setiap dasar kerajaan kerajaan dilaksanakan sebaiknya.
"Kelayakan akademik dan kemahiran pembantu tadbir diguna sepenuhnya jabatan masing-masing, namun mereka tidak diiktiraf sewajarnya dalam bentuk kenaikan pangkat dan tangga gaji bersesuaian," katanya.
Justeru, beliau meminta JPA menilai semula skim perjawatan pembantu tadbir dan mempertimbangkan kenaikan pangkat mereka ke gred Penolong Pegawai Tadbir N29 di bawah SSM atau Gred N5 SSPA supaya skim itu relevan dengan perkembangan semasa, selain memenuhi keperluan jabatan.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan yang menyifatkan dakwaan AUEGCAS itu agak mengelirukan, meminta pegawai skim terbabit menghubungi JPA untuk mendapatkan penjelasan terperinci, selain menyemak kenaikan dinikmati mereka susulan pelarasan gaji baharu menerusi kalkulator gaji yang disediakan pada portal SSPA.
"Dalam pada itu, bagi kakitangan skim perkhidmatan ini, mereka boleh memohon Peningkatan Secara Lantikan (PSL) ke skim perkhidmatan dalam kelompok kelayakan lebih tinggi, sama ada pada peringkat diploma, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Ijazah Sarjana Muda.
"Permohonan boleh dibuat kepada Pihak Berkuasa Melantik (PBM) untuk mengisi kekosongan jawatan yang bersesuaian dengan kelayakan akademik yang dimiliki," katanya.
Justeru, Wan Ahmad Dahlan berkata, JPA sentiasa memberi perhatian dan mengkaji tuntutan dari mana-mana kumpulan pegawai awam melalui pelbagai sumber, termasuk media sosial.
"Sebagai contoh, ketika kajian SSPA dibuat, JPA mewujudkan portal khas untuk semua pegawai awam menyuarakan hasrat dan kehendak penambahbaikan sistem saraan," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment