Beberapa petikan buku karangan Hannah Yeoh yang menceritakan tanggungjawab politiknya sebagai seorang Kristian menjadi hujah pembelaan.
Dalam bukunya, Hannah Yeoh - yang dilihat di sini bersama suaminya Ramachandran Muniandy - berkata Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia untuk membetulkannya.
Beberapa pengakuan daripada seorang pemimpin DAP bahawa dia mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia menerusi penglibatan politiknya menjadi asas kepada keputusan Mahkamah Tinggi hari ini untuk menolak saman fitnahnya terhadap Musa Hassan, kata peguam mewakili bekas ketua polis negara itu.
Hannah Yeoh, yang juga menteri belia dan sukan, gagal dalam samannya terhadap Musa berhubung ucapan di sebuah forum empat tahun lalu yang mendakwa ahli Parlimen Segambut itu mempunyai hubungan dengan golongan evangelis dan Yahudi yang boleh merosakkan Islam dan negara.
Peguam Musa yang menyambut baik keputusan menolak saman tersebut, berkata mahkamah telah mempertimbangkan hakikat bahawa pemimpin DAP itu sendiri di dalam bukunya, "Becoming Hannah", mengaku mengajar agama Kristian secara halus di Malaysia sekembalinya ke tanah air selepas tamat pengajian di luar negara bagi menjalankan peranannya sebagai "Ambassador of God" (duta Tuhan) untuk "menyebarkan 'ajaran tuhannya' melalui pejabat politiknya".
Dalam kenyataannya, peguam mewakili Musa, Tetuan Azam Aziz & Co, turut memetik beberapa petikan daripada buku karangan Yeoh.
"Saya juga merasakan bahawa politik membawa saya jauh dari impian sebenar saya, iaitu untuk menjadi seorang pendakwah. Tetapi jika saya tidak mematuhi panggilan Tuhan, saya tidak akan mempunyai peluang untuk berdakwah di gereja-gereja, kepada pemimpin-pemimpin dunia dan kepada orang-orang muda, seperti apa yang saya mampu buat sekarang. Tuhan tahu Hasrat hati saya untuk berdakwah dan berkhidmat kepada-Nya. Dan Dia membuat ia berlaku melalui jawatan politik saya," katanya memetik terjemahan penulisan Yeoh dalam buku itu yang dijadikan antara hujah pembelaan justifikasi dalam perbicaraan itu.
Yeoh turut menulis: "Tuhan mahu menuntut semula politik dan perkhidmatan awam di Malaysia demi untuk membetulkannya. Dia sedang mencari lelaki dan wanita bertaqwa yang sanggup menggulung lengan baju mereka dan bekerja dalam bidang yang sangat mencabar ini."
Di samping itu, peguam turut berkata sebagai wakil rakyat, Yeoh diangap terbuka kepada kritikan berhubung tugas awamnya.
"Mahkamah menegaskan kepentingan kebebasan bersuara, terutamanya dalam perbincangan mengenai kepentingan negara, dan menekankan bahawa tokoh awam perlu menerima kritikan dan perdebatan berhubung tindakan serta kenyataan mereka dalam kapasiti awam," tambahnya.
Musa disaman Yeoh berhubung kenyataan dalam satu forum anjuran Kursi Institut Raja-Raja Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 2020, "Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?", di mana bekas ketua polis yang berkhidmat dari tahun 2006 hingga 2010 itu berkata gerakan Evangelisme mampu memberikan kesan kepada keselamatan negara berdasarkan penelitiannya terhadap buku Yeoh.
Mahkamah Tinggi bagaimanapun menolak tuntutan Yeoh dan memerintahkan beliau membayar kos RM40,000 kepada Musa.
Menurut Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi, majlis di mana Musa membuat ucapan itu tanpa sebarang niat jahat, di samping beliau mempunyai alasan munasabah membuat kenyataan itu "berdasarkan pengakuan dan penulisan plaintif".
"Walaupun ucapan yang bertanggungjawab adalah penting, individu terkenal perlu menjangkakan dan menerima kritikan serta perdebatan yang hebat mengenai kenyataan dan tindakan awam mereka," kata Arziah.
Yeoh dilaporkan akan merayu keputusan itu.
Sementara itu, Musa dalam kenyataan menerusi peguamnya bersyukur dengan
keputusan pada hari ini, sambil berkata akan "terus bercakap atas kapasiti sebagai mantan ketua polis negara tentang apa jua isu yang berkepentingan nasional dan akan mempertahankan negara daripada sebarang ancaman dalaman dan luaran sejajar dengan kesucian dan ketertinggian Perlembagaan Persekutuan".
-MalaysiaNow
No comments:
Post a Comment