Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan Yusoff Rawther menyaman pihak polis dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) selepas mahkamah membebaskan bekas pembantu penyelidik kepada Anwar Ibrahim itu atas tuduhan mengedar ganja dan memiliki dua pistol tiruan.
Ahmad Fadhli dalam kenyataannya berkata, keputusan mahkamah membuktikan Yusoff “dizalimi dengan perangkap yang dipasang awal”.
"Saya syorkan beliau saman pihak polis dan KDN sekali gus supaya dapat dibongkarkan siapa yang keluarkan arahan untuk letakkan kanabis dan pistol palsu itu.
"Tidak logik kanabis itu datang turun dari langit, dari mana ia datang, mesti ada tangan yang meletakkan. Tentu ada pihak yang keluarkan arahan. Saudara Yusoff boleh saman. Saya yakin polis sendiri tidak mahu bersekongkol dengan tindakan zalim ini.
"Jangan kerana arahan sebegini, rosak nama polis yang sangat komited selama ini. Bersihkan nama instituti kepolisan negara!” katanya.
Hantaran Ahmad Fahli itu turut dikongsi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal di Facebooknya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membebaskan Yusoff selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi kedua-dua pertuduhan.
Hakim Jamil Hussin berkata, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh mempunyai kawalan, jagaan dan pemilikan ke atas dua pucuk pistol dan dadah berkenaan.
Untuk rekod, Yusoff sebelum ini memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang secara seksual di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.
Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai perdana menteri.
‘Usah zalimi orang lain’
Susulan keputusan mahkamah hari ini, beberapa pemimpin pembangkang menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan berlaku penganiayaan terhadap Yusoff dan salah guna kuasa dalam kes ini.
Naib Presiden Bersatu, Dr Radzi Jidin, pula mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menganiaya dan memzalimi orang lain.
“Usah menganiaya dan menzalimi orang lain walaupun ada kuasa. Sesungguhnya tiada penghalang antara doa orang yang dizalimi dengan Allah SWT.
"Kuasa itu adalah ujian dunia. Sampai masa yang berkuasa pun rebah ke bumi jua," katanya.
Nada yang sama disuarakan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang turut menyambut baik keputusan mahkamah membebaskan Yusoff.
Katanya, keputusan itu mengingatkan kita semua tentang prinsip asas dalam negara demokrasi -bahawa setiap individu berhak kepada keadilan dan kebebasan yang dijamin oleh perlembagaan.
"Sebarang bentuk penindasan atau penganiayaan terhadap mana-mana insan, apalagi jika dibuat atas sebab perbezaan politik, adalah tidak wajar dan harus ditolak sekeras-kerasnya.
“Negara ini mesti bebas daripada budaya pendakwaan terpilih dan penyalahgunaan kuasa," ujarnya.
No comments:
Post a Comment