Telaga Bi'r Ha atau Bairuha'
=====
1. Dulu kawasan ini ditutup dengan karpet, sekarang ini dibiarkan terbuka sahaja. Berdekatan dengan pintu 22 inilah dikatakan terletaknya lokasi kawasan telaga Abu Talhah. Terletak di antara rak kasut 1241 dan 1242 yang ditandakan dengan simbol bulat, sama seperti bulatan telaga cincin di Masjid Quba.
2. Menurut riwayat al-Bukhari, telaga Bi'r Ha / Bairuha adalah harta yang paling disayangi oleh Saidina Abu Talhah. Apabila ayat 92 dari surah Ali Umran diturunkan, beliau menyumbangkan harta yang paling disayanginya itu selaras dengan saranan al-Quran.
3. Diskripsi dalam hadis membayangkan bahawa telaga tersebut menghadap ke masjid Nabi dan Rasulullah pernah singgah minum di situ. Ini menunjukkan seluruh laman Masjid Nabi pada hari ini merupakan bandar asal madinah merangkumi kebun-kebun, telaga dan perumahan asal para sahabat.
4. Kisah sumbangan Abu Talhah ini membayangkan bahawa apa yang kita sumbangkan itulah yang akan kekal sebagai amal soleh yang diabadikan sehingga kini. Apa yang kita simpan, belum tentu kekal tersimpan.
5. Begitulah Rasulullah mendidik Aisyah apabila ditanya tentang kambing yang dijamu dan diagihkan kepada para sahabat. Lalu Nabi bertanya:
مَا بَقِيَ مِنْهَا؟ قُلْتُ: مَا بَقِيَ مِنْهَا إِلَّا كَتِفُهَا. قَالَ: بَقِيَ كُلُّهَا غَيْرَ كَتِفِهَا.
“Apa yang masih tinggal daripadanya?” Aisyah menjawab: “Tidak tinggal daripadanya kecuali bahunya.” Baginda bersabda: “Sebenarnya yang tinggal kekal (tersimpan pahalanya) adalah semuanya kecuali bahunya.” (HR al- Tirmizi)
Semoga Allah membimbing kita.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
https://telegram.me/drahmadsanusiazmi
#notamadinah










No comments:
Post a Comment