Berjamaah itu amanah, bukan ruang tunjuk pandai
APABILA kita memilih untuk bersama PAS, kita tidak boleh bertindak ikut kepala sendiri. Kita telah menjadi sebahagian daripada jamaah, dan jamaah itu bukan milik individu, tetapi milik bersama.
Kadang-kadang kita merasakan diri paling cerdik kerana ada kelulusan tinggi, paling berpengalaman, atau paling banyak berjasa kepada parti. Lalu kita anggap pandangan kitalah yang paling betul, orang lain semua salah. Hakikatnya, inilah kesilapan besar dalam beramal secara berjamaah.
Kecerdikan seorang tidak sama dengan kebijaksanaan ramai. Jamaah melihat dari sudut yang lebih luas, sedangkan kita sering melihat hanya dari sudut mata kita sendiri.
Banyak kali pengalaman mengajar saya. Pendapat yang kita sangka paling tepat, rupanya tidak benar. Kita sahaja yang merasakan diri paling betul.
Dalam jamaah, keputusan tidak dibuat untuk memuaskan kehendak individu. Ia dibuat dengan pertimbangan maslahat bersama dan kepentingan jangka panjang.
Jamaah menolak keputusan yang didorong oleh kepentingan peribadi, walaupun dibungkus dengan alasan kebijaksanaan atau pengalaman.
Memang mudah rasa diri cerdik apabila duduk sendirian dalam bilik. Tetapi bila keluar melihat dunia luar, barulah kita sedar ramai lagi yang lebih cerdik dan lebih matang.
Pesanan untuk diri saya sendiri, jangan perasan kita paling pandai. Dalam jamaah, ada adabnya ada ketuanya, ada disiplinya.
Saya memilih untuk terus bersama jamaah. Orang lain mungkin memilih jalan tidak mahu berjamaah, itu hak dialah. Kita tidak boleh memaksa. Mungkin mereka ada hujah tersendiri.
Namun realitinya, mereka juga tetap berjamaah, cuma berjamaah dengan kelompok yang sama fikiran dengan mereka yang tidak mahu berjamaah. Akhirnya, mereka tidak ke mana dan sering bergaduh sesama sendiri.
Bersama jamaah menuntut kita mengurangkan ego. Kita tidak boleh merasakan hujah kita sahaja yang bijak dan hujah orang lain semuanya bodoh.
Kita perlu sanggup mengorbankan rasa tidak puas hati terhadap beberapa keputusan jamaah. Inilah harga sebuah ketaatan dan disiplin berjamaah.
Kalau mengaku bersama jamaah tetapi masih mahu buat pandai-pandai dan enggan patuh, akhirnya akan hanyut.
Lebih parah, tanpa sedar kita boleh terperangkap dengan musuh, sambil terus berhujah bahawa semua itu kononnya kerana sayang kepada jamaah, sedangkan hakikatnya membawa mudarat kepada jamaah.
Sejarah telah banyak kali membuktikan, jalan orang yang enggan tunduk kepada jamaah akhirnya tidak membawa kebaikan.
Bersama jamaah, rendahkan ego.
Bersama jamaah, belajar taat.
Bersama jamaah, kita kuat.
YB DATUK USTAZ HAJI IDRIS HAJI AHMAD
Naib Presiden PAS
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 30/12/2025










No comments:
Post a Comment