Empat ADUN Bersatu Akan Dilantik Sebagai Exco Perlis
ABU Bakar Hamzah menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akbar di pejabatya di Kompleks Seri Putra, Kangar, Perlis hari ini.
KANGAR: Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Exco Kerajaan Negeri Perlis bagi memastikan pentadbiran diteruskan seperti biasa.
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis, jumlah minimum pelantikan Exco bagi membentuk kerajaan negeri adalah sebanyak satu pertiga daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Katanya, berikutan situasi semasa di mana Pas membuat ketetapan tidak akan menganggotai barisan Exco kerajaan negeri, beliau tidak mempunyai pilihan terpaksa melantik kesemua empat ADUN dari Bersatu yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai Exco.
“Tak ada masalah sebab kita ikutkan jumlah minimum Exco adalah satu pertiga membabitkan empat ADUN dan termasuk saya sekali adalah lima. Maknanya kita boleh teruskan pelantikan Exco ini dengan seberapa segera mengikut Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Menteri Besar hari ini.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas tidak akan menganggotai barisan Exco yang akan dibentuk oleh Menteri Besar Perlis baharu sebagai tanda solidariti kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli pada Khamis lalu.
Kata Takiyuddin, semua anggota Exco sedia ada daripada Pas juga akan melepaskan jawatan masing-masing sebagai tanda solidariti dan seiring dengan peletakan jawatan Mohd. Shukri.
Ahad lalu, Abu Bakar dilantik sebagai Menteri Besar baharu menggantikan Mohd. Shukri yang melepaskan jawatan atas faktor kesihatan.
Kemelut politik di Perlis meletus susulan lapan ADUN membabitkan lima dari Bersatu dan tiga daripada Pas menantandatangani akuan bersumpah menolak sokongan terhadap Mohd. Shukri sebagai Menteri Besar.
Ujar Abu Bakar, beliau juga akan mendapatkan nasihat daripada pucuk pimpinan Bersatu diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum membuat sebarang pengumuman barisan Exco.
“Walau apa pun keputusan, saya selaku Menteri Besar dan ahli Bersatu akan tetap akur dan apa pun, kita harap hubungan Pas dan Bersatu di Perlis dapat dikekalkan,” katanya.
Tambahnya, beliau menjangkakan pelantikan barisan Exco kerajaan negeri itu akan diselesaikan dalam tempoh dua minggu.
“Tapi kita juga tunggu isyarat, di mana hari ini jelas dengan pengumuman daripada Takiyuddin telah beri gambaran bahawa kita perlu segerakan pelantikan Exco ini. Kita yakin pentadbiran kerajaan negeri akan kekal sehingga habis penggal dengan sokongan semua pihak,” katanya.
.
Sumber : Utusan Malaysia
.
Teruskan Bersama Perlis Permai Untuk Berita Dan Info Semasa Negeri Perlis.
.
#PerlisPermai
#VisitPerlis
#VisitPerlis20242026
#PakatMaiPerlis
#TahunMelawatPerlis










No comments:
Post a Comment