Bekas pemimpin berusia seabad itu menggesa pihak berkuasa menyoal semua yang terlibat dalam penyediaan, rundingan dan pemuktamadan perjanjian 26 Oktober itu.
Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa Anwar Ibrahim disiasat atas perbuatan sabotaj ekonomi dan menjejaskan kedaulatan negara berhubung perjanjian yang ditandatangani dengan Amerika Syarikat, dalam satu laporan polis bersejarah yang dibuat oleh bekas pemimpin itu terhadap seorang perdana menteri yang masih berkhidmat.
Laporan itu difailkan Mahathir di Ibu Pejabat Polis Putrajaya pagi tadi, ditemani peguam Rafique Rashid.
Dalam laporannya, pemimpin berusia seabad itu menyifatkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan AS yang ditandatangani Anwar dengan Presiden Donald Trump pada Oktober boleh menjejaskan kedudukan Malaysia serta menggugat kedaulatan ekonomi dan politik negara.
"Saya percaya tindakan tersebut telah dilakukan tanpa mengambil kira sepenuhnya kepentingan negara dan merupakan suatu tindakan yang pada pandangan saya boleh dianggap sebagai tindakan oleh seseorang yang tidak mengendahkan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, serta berpotensi mengheret negara ke dalam keadaan di mana Malaysia digadaikan kepada pengaruh kuasa asing," kata Mahathir dalam laporan polis yang dilihat MalaysiaNow.
Katanya, beberapa kesalahan dilakukan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu Seksyen 124B, 124C dan 124K, yang melibatkan perbuatan sabotaj dan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
Mahathir menyenaraikan sekurang-kurangnya empat klausa dalam perjanjian itu yang menurutnya menyerahkan kedaulatan dan kebebasan perdagangan Malaysia kepada kuasa asing.
Ia termasuk klausa yang mewajibkan Malaysia mematuhi sebarang sekatan unilateral oleh AS terhadap negara lain, serta mewajibkan Malaysia mendedahkan data rentas sempadan "yang berpotensi mencampuri dasar pengawalseliaan negara".
Beliau turut menyenaraikan 14 implikasi negatif yang bakal dihadapi Malaysia, termasuk berkaitan kuasa kawal selia industri halal, pemerkasaan ekonomi Bumiputera, strategi nasional dalam sektor berteknologi tinggi, dan eksport mineral kritikal seperti unsur nadir bumi.
"Kesemua perkara ini menimbulkan kebimbangan serius kepada saya kerana pada hemat saya, ia melenyapkan kuasa Malaysia untuk menentukan dasar luar, dasar ekonomi serta penggunaan sumber strategik negara secara bebas dan berdaulat," kata Mahathir.
'Siasat semua yang terlibat'
Beliau berkata siasatan juga harus menumpukan kepada unsur penyalahgunaan kuasa dan kecuaian dalam melaksanakan tugas rasmi, termasuk pecah amanah dalam keputusan yang melibatkan nadir bumi dan bahan mineral kritikal.
Beliau berkata selain Anwar, polis juga perlu menyoal siasat pegawai Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), peguam negara, dan semua yang terlibat dalam penyediaan dan rundingan perjanjian itu.
Laporan polis hari ini difailkan empat hari selepas Mahathir menyeru Anwar dihadapkan tuduhan khianat kerana menandatangani perjanjian itu.
"Kini jelas bahawa kenyataan kerajaan mengenai perjanjian dengan AS menyembunyikan banyak janji oleh Malaysia untuk tunduk kepada AS," kata Mahathir, tokoh di sebalik pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia ketika menerajui negara selama lebih dua dekad pada era 80-an dan 90-an.
Perjanjian yang dipertahankan Anwar dan pemimpin kerajaan itu mencetuskan kemarahan orang ramai di samping pelbagai kritikan daripada pakar dan ahli politik mengenai klausa yang dilihat terlalu memihak kepada kepentingan Washington.
Mereka termasuk bekas peguam negara Tommy Thomas, yang berkata pelbagai komitmen yang dikenakan ke atas Malaysia menunjukkan pihak yang sepatutnya terlibat dalam rundingan – dari Pejabat Perdana Menteri hingga ke Jabatan Peguam Negara – "langsung tidak berunding".
"AS menunjukkan drafnya. Kemudian, ia ditandatangani tanpa soal oleh Anwar, yang memperagakan pen Trump dan menaiki kereta Trump," katanya, merujuk kepada hadiah sebatang pen Rumah Putih daripada Trump kepada Anwar, sejurus selepas menandatangani perjanjian itu pada 26 Oktober ketika presiden AS itu menghadiri Sidang Asean di Kuala Lumpur.
Butiran perjanjian itu hanya diketahui umum selepas White House menerbitkannya di laman web rasminya beberapa jam selepas ia ditandatangani.
Apa yang menjadi titik kemarahan orang ramai ialah peruntukan yang mewajibkan Malaysia menjadi pemain langsung dalam sebarang konflik ekonomi melibatkan AS.
Ia menyatakan bahawa jika Washington mengenakan sekatan atau tarif ke atas mana-mana negara ketiga atas sebab keselamatan negara, Malaysia "hendaklah menerima pakai atau mengekalkan langkah dengan kesan sekatan yang setara", sekali gus menamatkan dasar luar Malaysia yang telah lama dipegang iaitu tidak berpihak dan mencerminkan sekatan AS terhadap negara lain.
Tindakan Anwar menandatangani perjanjian itu mencetuskan semula tuduhan bahawa pengerusi Pakatan Harapan itu cenderung kepada dasar AS dan Barat, salah satu alasan Mahathir pada 1998 untuk memecatnya daripada kerajaan ketika kemuncak krisis kewangan Asia.
-MalaysiaNow










No comments:
Post a Comment