MUAFAKAT NASIONAL 2.0: PELUANG HIDUP MATI UMNO MENJELANG PRN DAN PRU16
Oleh DR KHALID HAMKA
Kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai keperluan menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) 2.0 bukan sekadar seruan perpaduan biasa. Ia merupakan mesej politik yang jelas bahawa perpecahan politik Melayu-Islam semakin melemahkan kedudukan kuasa politik orang Melayu dan umat Islam dalam negara.
PAS melihat pembubaran DUN Johor dan kemungkinan beberapa PRN lain sebagai peluang terbaik untuk membina semula kesatuan politik Melayu-Islam melalui satu kerjasama politik yang lebih besar, tersusun dan strategik.
Apabila Tuan Ibrahim menyebut bahawa PAS dan UMNO perlu bertindak sebelum "nasi menjadi bubur", beliau sebenarnya sedang membuka ruang kepada satu formula baharu penyatuan politik Melayu-Islam.
PAS memahami bahawa pertandingan sesama sendiri antara PAS dan UMNO hanya memberi kelebihan kepada PH dalam banyak kerusi campuran. Sebab itu MN 2.0 dilihat sebagai usaha menggabungkan semula kekuatan politik Melayu yang pernah memberikan impak besar selepas PRU14.
Lebih penting, pelawaan ini bukan semata-mata untuk menyatukan dua parti Melayu terbesar, tetapi bagi menghadapi cabaran politik yang dilihat semakin mengancam kedudukan Melayu-Islam. Dalam kenyataannya, Tuan Ibrahim sendiri membangkitkan beberapa isu seperti UEC, cabaran terhadap enakmen syariah negeri-negeri, bantahan terhadap institusi Raja-Raja Melayu dan isu-isu lain yang dianggap menyentuh kepentingan orang Melayu dan umat Islam.
Daripada perspektif PAS, penyatuan politik Melayu-Islam perlu diperkukuhkan bagi menghadapi tuntutan-tuntutan yang semakin banyak dikemukakan oleh DAP dan kumpulan tertentu yang dilihat bercanggah dengan aspirasi majoriti masyarakat Melayu-Islam.
Realitinya, UMNO semakin kehilangan pengaruh di beberapa negeri yang kini menjadi kubu kuat PAS. Jangka hayat yang terbaik hanyalah satu iaitu Muafakat Nasional 2.0.
Di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, UMNO berada dalam keadaan yang jauh lebih lemah berbanding suatu ketika dahulu. Malah PAS bukan sahaja berjaya mempertahankan pengaruhnya di empat negeri tersebut, tetapi semakin melebar ke Perak dan Selangor.
Jika perkembangan ini berterusan, tidak mustahil gelombang tersebut akan turut memberi kesan kepada negeri-negeri selatan seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor pada masa hadapan.
Atas sebab itu, Muafakat Nasional 2.0 boleh dilihat sebagai peluang untuk UMNO memanjangkan semula hayat politiknya di negeri-negeri yang semakin sukar ditembusi secara bersendirian. Dan juga mengembalikan pengaruh UMNO di Perak dan di Selangor.
PRN Johor dan Negeri Sembilan berpotensi menjadi medan ujian pertama kepada kesungguhan penyatuan ini. Sekiranya UMNO bersedia bertolak ansur dalam soal pembahagian kerusi di Johor dan Negeri Sembilan, PAS juga berkemungkinan mempertimbangkan pendekatan yang sama di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Inilah semangat muafakat yang cuba dibina semula oleh PAS iaitu saling memberi dan menerima demi matlamat yang lebih besar.
Hakikatnya, kenyataan Tuan Ibrahim juga merupakan satu ujian politik terhadap UMNO. Jika UMNO benar-benar serius mempertahankan agenda Melayu-Islam yang sering dilaungkan, maka pelawaan PAS sepatutnya diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Sebaliknya, jika UMNO terus memilih kerjasama dengan PH sambil menolak usaha penyatuan Melayu-Islam, PAS akan mempunyai ruang yang lebih luas untuk meyakinkan pengundi Melayu bahawa parti itu lebih konsisten dalam agenda penyatuan ummah.
Muafakat Nasional 2.0 bukan lagi soal nostalgia politik, tetapi soal kelangsungan kuasa politik Melayu-Islam pada masa hadapan.
PAS dilihat sedang menawarkan satu jalan keluar kepada UMNO ketika parti itu berdepan kemerosotan pengaruh di beberapa negeri utama. Pada masa yang sama, PAS melihat penyatuan ini sebagai mekanisme untuk memperkukuhkan suara politik Melayu-Islam dalam mendepani pelbagai isu yang dianggap menyentuh kepentingan agama, bangsa dan institusi negara.
Persoalan besarnya ialah sama ada UMNO sanggup mengetepikan ego politik dan membuka semula ruang kerjasama tersebut.
Jika UMNO terus menolak Muafakat Nasional 2.0, pihak yang berpotensi menanggung kerugian lebih besar sebenarnya ialah UMNO sendiri, bukannya PAS. Ini kerana PAS ketika ini berada pada fasa pengukuhan dan pengembangan pengaruh politik yang semakin diterima di pelbagai lapisan masyarakat Melayu-Islam serta mula melebar ke negeri-negeri baharu.
Sebaliknya UMNO sedang berdepan cabaran untuk mengekalkan pengaruh tradisionalnya di banyak kawasan. Dalam konteks tersebut, MN 2.0 boleh dianggap sebagai peluang strategik untuk UMNO memperkukuh semula kedudukannya.
Jika peluang ini terus disia-siakan, UMNO bukan sahaja berisiko kehilangan lebih banyak pengaruh politik, malah mungkin terus dilihat oleh sebahagian pengundi Melayu sebagai parti yang memilih pertimbangan politik jangka pendek berbanding agenda penyatuan Melayu-Islam yang lebih besar.
UMNO mungkin parti keramat
Tetapi tidak mustahil
UMNO dalam jalan penamat
DR KHALID HAMKA
Penganalisa Politik










No comments:
Post a Comment