Oleh:Kamarul Ariffin Nor Sadan
Saya baru sempat tonton temubual Puan Jaslinda Saludin(Kak Jas) bersama Sinar FM. Beliau ceritakan pengalaman ketika dia tersesat di dalam hutan selama 14 hari.
Semuanya bermula semasa dia sertai ekspedisi mendaki Transpenser Chapman, Gunung Batu Putih di Perak yang nemakan masa 24 jam.
Masa tu ada salah seorang ahli kumpulan pendaki yang kurang sihat dan pergerakan mereka jadi sangat perlahan. Sebab tak nak menyusahkan kawan yang dia tumpang kereta nanti, Kak Jasminta izin untuk jalan dulu ke arah puncak.
Di puncak tu, dia tunggu dekat 40 minit, tapi bayang kawan-kawan yang lain langsung tak nampak muncul. Akhirnya dia buat keputusan untuk teruskan turun seorang diri sebab terfikir mereka mungkin dah jalan dulu ke depan.
Dekat sinilah bermulanya mimpi ngeri bila dia tersilap ambil simpang ke kanan berbanding laluan sebenar yang sepatutnya ke kiri. Bila keadaan makin gelap, Kak Jaz mula sedar yang dia sebenarnya dah tersesat jauh daripada trek asal.
Benda jadi lagi tragis bila dia terjatuh ke dalam gaung sedalam lima meter masa cuba ikut laluan tepi sungai. Kaki kirinya retak akibat tersepit celah batu, kepala terkoyak sikit sampai berdarah, dan giginya sumbing teruk.
Bayangkan, dengan kaki retak tu dia terpaksa gagahkan diri juga untuk bangun dan teruskan perjalanan. Makanan pula memang tak ada melainkan sebungkus nasi lemak segera yang dah basi dan beberapa biji gula-gula asam.
Untuk terus hidup, Kak Jaz terpaksa bedal buah-buahan liar dalam hutan macam buah beri masam dan sejenis buah bulat berasa seperti jeli.
Untuk kekalkan hidrasi, sia minum air sungai tapi bila dah terdesak sangat kehausan, dia hampir minum air kencing sendiri tapi tak sanggup sebab bau terlampau busuk.
"Tahu tak nilai air bila kita kat luar, air tak sedap kita buang, membazir. Dalam hutan saya terfikir, 'Ya Allah ya Tuhanku, kalau ada umat-Mu yang lain boleh bagi aku setitik air, secubit makanan, aku dah cukup bersyukur'."
Waktu malam pula suhu memang sangat sejuk dan dia terpaksa tidur baring atas lantai hutan yang basah. Untuk elak hipotermia, dia cuma gunakan sarung plastik sampah saiz L kat badan dan pakai sehelai jaket.
Haba terperangkap dalam plastik tu buat badan dia berpeluh dan cukup untuk bagi dia rasa panas sepanjang malam. Walaupun macam tu, dia terpaksa terjaga setiap dua jam untuk ubah kedudukan sebab keadaan memang tak selesa langsung.
Ramai netizen buat spekulasi kata dia kena sorok bunian, tapi Kak Jas nafikan sekeras-kerasnya tohmahan tu. Dia cakap sepanjang 14 hari tu, dia tak jumpa satu pun binatang buas apatah lagi entiti hantu atau alam bunian.
Cuma, dia ada nampak kesan tapak kaki harimau dan banyak kesan cakar beruang kat pokok-pokok hutan tu. Paling menyeksa mental dia sebenarnya adalah sekumpulan agas yang tak putus-putus hurung muka dan gigit badan dia setiap masa.
Bagi mengatasi masalah tu, Kak Jas patahkan pokok lengkuas hutan dan selitkan dekat celah telinga. Bau kuat lengkuas tu berjaya halau agas-agas tu dari terus mendekati dan ganggu dia.
Hampir setiap hari Kak Jaz dengar bunyi helikopter penyelamat berlegar-legar kat ruang udara cuba cari kedudukan dia. Dia pernah gigihkan diri panjat pokok yang paling tinggi dan tiup wisel sekuat hati tapi malangnya mereka tak perasan kelibat dia.
Satu benda yang buat mental dia sangat kuat ialah dia sedaya upaya tahan diri daripada menangis teresak-esak. Dia sayang nak keluarkan air mata sebab tak nak bazirkan langsung cecair dalam badan masa tekak tengah teruk kehausan.
Selepas berhari-hari jalan tanpa henti ikut firasat, dia akhirnya jumpa sekeping nota yang ditinggalkan oleh pasukan penyelamat pencarian. Rupa-rupanya nota tu dah berusia tujuh hari, maknanya dia tertinggal sangat jauh di belakang pergerakan pasukan pencari.
Nota tu ditinggalkan dengan satu botol air botol kosong. Cuba ingat balik doa Kak Jas sebelum ini. Doanya diperkenan dan itu bagi dia semangat baru. Dia teruskan perjalanan dan tukar arah sikit sampailah dia terjumpa sampah tin kosong, tanda memang ada manusia kat kawasan tu.
Kemuncak penderitaan ni berakhir bila dia nampak sebuah jambatan gantung kayu yang dah senget dan uzur. Bawah jambatan tu sungai mengalir sangat deras tapi dia redah dan beranikan diri juga untuk melintas perlahan-lahan.
Lepas saja lintas dengan selamat, dia ternampak kelibat dua orang manusia tengah duduk memancing kat tepi sungai tu. Itulah Bah Roslan dan anak Tok Batin dari sebuah perkampungan Orang Asli berdekatan yang jadi penyelamatnya.
Waktu tu Kak Jas terus menangis gembira sebab terlampau bersyukur dapat tengok manusia bernyawa lepas dua minggu terperangkap. Perkataan pertama yang keluar dari mulut dia masa tu adalah lafaz beritahu yang dia beragama Islam supaya dorang tak salah faham.
Isteri Tok Batin yang bernama Milan terus peluk dia erat-erat dan bawa dia balik berehat ke rumah mereka. Mereka jamu Kak Jaz makan mi maggi dengan nasi berlauk ikan goreng, nikmat makanan yang tak terkata lepas 14 hari berlapar.
Kak Jas kata yang kehilangan dia ni adalah teguran Tuhan untuk uji ketahanan mental dan kebergantungan diri pada Pencipta. Dia bersyukur sangat masih dipanjangkan umur dan tak putus-putus berterima kasih pada semua rakyat Malaysia yang risau dan doakan keselamatan dia.
Begitulah ceritanya.










No comments:
Post a Comment