KRITIKAN | DAP Menawarkan Jawatan GLC Kepada Ahli Politik yang Kalah Pilihan Raya: Apa Maksud semua ini ?
Keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai dari DAP untuk tidak mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang mengingatkan saya kepada teori seorang ahli ekonomi bernama Thorstein Veblen.
Untuk konteks, Marina Ibrahim, ADUN DAP bagi kawasan Skudai, telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang. Beliau membuat keputusan ini setelah beliau diminta oleh pihak DAP untuk bertanding di DUN Tiram, bukannya mempertahankan kerusi sedia ada beliau di Skudai.
Kenapa dia di minta untuk berbuat sebegitu?
Andaian saya ialah dia diminta berbuat sebegitu kerana DAP berkemungkinan besar telah membuat perkiraan "umpan kaum" dan memutuskan bahawa untuk memenangi kerusi Tiram, calon yang paling sesuai dari segi strategi perkauman ialah seorang Melayu.
Apakah yang dimaksudkan dengan perkiraan "umpan kaum" ini?
Senarionya begini.
S. Gopalakrishnan daripada PKR memenangi kerusi Tiram pada 2018 selepas menumbangkan penyandang daripada Umno yang telah menguasai kerusi tersebut selama tiga penggal.
Bagaimanapun, pada tahun 2022, Umno berjaya merampas semula kerusi tersebut, manakala Gopalakrishnan jatuh ke tempat ketiga, di belakang calon Umno dan Perikatan Nasional.
Melihat kepada hakikat bahawa dua calon yang mendapat undi tertinggi di Tiram pada 2022 adalah daripada parti majoriti Melayu, DAP kemungkinan besar membuat perkiraan bahawa untuk menang di Tiram, mereka wajib meletakkan calon Melayu.
Sudah tentu, DAP tidak akan mengaku secara terang-terangan bahawa mereka hanya melihat Marina sebagai "umpan kaum". Sebaliknya, Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, menggunakan bahasa tersirat untuk menghalalkan tindakan tersebut dengan menyatakan bahawa Marina adalah "calon yang paling boleh menang" (winnable candidate) untuk DUN Tiram.
Namun, memandangkan Marina berkemungkinan besar tidak mempunyai kaitan rapat dengan Tiram — beliau mungkin tidak tinggal di sana, jarang ke sana, tiada keluarga terdekat di situ, dan tidak pernah menghabiskan sebahagian besar hidupnya membesar di kawasan tersebut — saya amat yakin DAP memilih beliau semata-mata atas faktor perkiraan "umpan kaum" tadi.
Jadi, bagaimana respons Marina apabila diarahkan bertanding di Tiram?
Beliau memilih untuk mengundurkan diri.
Adakah beliau sudah mendapat pekerjaan lain? Adakah beliau mahu bersara daripada bidang politik untuk menilai semula apa yang perlu beliau lakukan dalam hidup beliau ? Adakah beliau sakit?
Tidak.
Beliau sihat walafiat. Beliau belum ada pekerjaan baharu. Malah beliua juga menyatakan hasrat untuk terus berbakti kepada masyarakat walaupun tanpa memegang sebarang jawatan politik.
Apabila seseorang meninggalkan pentas politik tanpa rancangan alternatif, namun mahu terus berkhidmat kepada komuniti secara sukarela, saya berani katakan bahawa individu tersebut sebenarnya sudah kecewa dengan parti yang dianggotainya.
Jika saya berada di tempat Marina, saya boleh faham mengapa perasaan itu timbul.
Beliau adalah seorang Melayu — dan orang Melayu pastinya tidak menyertai DAP kerana sentimen perkauman .
Marina mungkin menyertai DAP kerana beliau benar-benar percaya dengan wadah perjuangan parti tersebut. Mungkin beliau benar-benar percaya kepada naratif DAP yang selama berpuluh puluh tahun mengatakan yang walaupun Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, ia tetap adalah sebuah negara yang tidak mengira warna kulit atau kaum, tapi adalah sebuah negara di mana semua rakyat akan dilayan secara adil Dan saksama berdasarkan merit, kecekapan, dan prestasi kerja sahaja.
Bayangkan betapa hancurnya harapan dia apabila akhirnya dia menyedari bahawa di sebalik segala idealisme dan retorik politik DAP, rupa-rupanya DAP ini sebenarnya tidak banyak bezanya dengan mana-mana parti politik yang lain, termasuk parti politik yang ditentang DAP.
Tanggapan bahawa DAP berkemungkinan besar hanyalah salinan karbon kepada Umno — cuma dalam versi Cina — dikuatkan lagi apabila Teo Nie Ching mempertahankan tindakannya memindahkan Marina ke Tiram dengan mengatakanyang beliau telah memberi jaminan kepada Marina bahawa jika kalah sekalipun di Tiram, pihak parti akan mencarikan tempat untuk beliau di dalam Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC).
Ganjaran jawatan GLC untuk ahli politik yang tewas selepas melakukan "khidmat negara" demi parti — bukankah ini taktik lapuk yang biasa kita kaitkan dengan parti rejim lama seperti Umno?
Dalam kata lain, apabila Marina menyatakan keengganannya untuk bertanding, DAP Johor tidak cuba memahami yang bahawa beliau mungkin kecewa kerana segala usaha baktinya untuk warga Skudai seolah-olah langsung tidak dihargai oleh parti yang sekadar memandangnya sebagai "umpan kaum" sahaja, tanpa mempedulikan sumbangan, bakat, idea, atau aspirasinya . Sebaliknya, tindakan pertama yang di ambil oleh ketua DAP Johor adalah terus mempertahankan tindakkanya dengan mengatakan yang dia telah melayan Marina dengan baik, kerana dia telah menjamin yang kalau Marina kalah di Tiram pun, Marina tetap akan mendapat imbuhan politik juga.
Dan inilah rupa sebenar DAP, bukan?
Lupakan soal kecekapan, akauntabiliti, dan ketelusan (CAT). Lupakan slogan "Malaysia untuk semua". Lupakan agenda reformasi institusi dan keinginan untuk "menyelamatkan Malaysia."
Apabila kita melupakan kata-kata mereka dan menilai mereka dari segi niat dan tindakan mereka, kita dapat melihat yang mereka ini hanyalah sebuah lagi parti politik biasa yang hanya berkeinginan untuk menang dan mendapatkan laba hasil daripada kemenangan mereka.
Dengan it, marilah kita kembali kepada teori Thorstein Veblen.
Salah satu sumbangan besar Veblen dalam memahami perkembangan dunia adalah untuk menjelaskan kepada kita mengapa revolusi pekerja yang diramal oleh Karl Marx tidak pernah menjadi kenyataan seperti yang diharapkan Marx.
Mengikut teori Marx, pergolakan antara golongan kapitalis dan golongan pekerja akhirnya akan mencetuskan revolusi besar-besaran di mana pekerja seluruh dunia akan bersatu untuk menumbangkan sistem kapitalis global dan membina sebuah utopia komunis.
Namun, walaupun banyak revolusi komunis telah berlangsung di dunia, utopia pekerja itu tidak pernah dicipta.
Bagi menjelaskan kegagalan ini, Veblen berhujah bahawa golongan pekerja mungkin benar-benar marah kepada kapitalis, tetapi mereka sebenarnya tidak marahkan sistem kapitalisme itu sendiri.
Sebaliknya, mereka cuma marah dan geram kerana mereka sendiri tidak dapat merasa nikmat yang dinikmati oleh golongan kapitalis.
Kemarahan mereka, dalam erti kata lain, lebih bersifat cemburu dan iri hati, bukannya satu kemarahan yang berpaksikan prinsip keadilan.
Oleh sebab itu, sebaik sahaja revolusi mereka mencapai sedikit kejayaan dan golongan pekerja berjaya mengambil alih kedudukan kelas kapitalis, rasa cemburu dan iri hati mereka akan hilang. Kesannya, mereka akan meneruskan tabiat dan amalan golongan kapitalis, walaupun mereka pernah mengutuknya sebagai amalan yang salah dan buruk sebelum itu.
Melihat pada isu Marina Ibrahim dan DAP Johor ini mengingatkan saya kepada teori Veblen tadi. Atas sebab yang sama kenapa Veblen meramalkan kegagalan revolusi komunis untuk mencipta utopia, saya juga meramalkan bahawa gerakan reformasi yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) ini akhirnya akan menemui kegagalan juga.
Gerakan ini akan gagal kerana sama seperti golongan revolusioner komunis yang sebenarnya cuma cemburu kepada kapitalis yang mereka lawan, golongan yang menggelar diri mereka "reformis" di negara kita ini berkemungkinan besar sekadar cemburu kepada rejim lama yang pernah mereka selar sebagai korup dan rasis.
Sebaik sahaja para reformis ini berjaya menggantikan tempat rejim lama, rasa cemburu itu akan hilang, dan mereka akan tanpa rasa bersalah atau segan silu, meneruskan amalan korup dan rasis, yang pernah mereka janjikan untuk hapuskan dahulu.
Kredit Imej: FMT
#DAPMalaysia #PakatanHarapan #marinaibrahim #TeoNieChing #JohorElection #DAPJohor #johor #therealnehruism










No comments:
Post a Comment