Blankenhain: Kemenangan yang meyakinkan dalam pusingan kalah mati di kejohanan utama, seperti yang dinikmati oleh Sepanyol dan Belanda dalam pusingan 16 Euro 2024, bukanlah penunjuk yang baik tentang kemungkinan kemenangan pada peringkat seterusnya.
Sejak 1986, 15 daripada 19 pasukan yang memenangi perlawanan kalah mati pertama Euro atau Piala Dunia dengan tiga atau lebih gol disingkirkan pada pusingan berikutnya.
Perkara itu dinyatakan oleh ahli ekonomi sukan dan profesor di Kolej Universiti Molde di Norway, Alex Krumer yang membuat analisis berkenaan.
Sepanyol dan Belanda adalah satu-satunya pasukan dalam pusingan 16 Euro 2024 yang menang tiga atau lebih gol dengan Sepanyol menundukkan Georgia 4-1 dan Belanda menumpaskan Romania 3-0.
Kedua-dua pasukan itu berdepan lawan yang sukar di suku akhir dengan Sepanyol menentang Jerman dan Belanda bertemu Turkiye.
Pasukan yang berdepan situasi itu adalah Jerman (dua kali), Brazil dan Denmark.
Jerman membelasah England 4-1 pada Piala Dunia 2010 sebelum tewas pada separuh akhir dan menewaskan Slovakia 3-0 pada Euro 2016 sebelum tewas pada suku akhir.
Brazil menewaskan Chile 4-1 pada Piala Dunia 1998 sebelum tewas di final, manakala Denmark menewaskan Wales 4-0 pada Euro 2020 dan kemudian tewas di separuh akhir.
"Keputusan ini bermakna pasukan tidak harus terlalu bergantung pada perlawanan sebelumnya, sebaliknya menyesuaikan persiapan mereka kepada lawan baharu," kata Krumer.
Beliau menyatakan antara sebab pasukan yang dominan itu kalah di peringkat seterusnya adalah disebabkan oleh keyakinan yang berlebihan.
Ia juga mungkin disebabkan oleh lawan yang sudah bersedia dengan tahap gaya permainan pasukan lawan yang menang dengan cara meyakinkan.
-myMetro
No comments:
Post a Comment