Buenos Aires: Timbalan Menteri Sukan Argentina Julio Garro dipecat selepas menggesa Lionel Messi meminta maaf susulan nyanyian kontroversi membabitkan lagu kebangsaan Perancis.
Pemain Argentina didakwa menggunakan bahasa berbaur perkauman ketika menyanyikan lagu itu oleh Persekutuan Bolasepak Perancis selepas ia tular di media sosial.
Video klip itu dimuat naik Enzo Fernandez yang berdepan prosiding disiplin di Chelsea selepas mendapat laporan daripada rakan sepasukan Wesley Fofana yang juga pemain Perancis.
Lagu itu yang pada mulanya dinyanyikan penyokong Argentina mempersoalkan asal asul pemain berdarah campuran dalam skuad Perancis yang dianggap sensitif bagi sesetengah orang.
Selepas skuad Argentina didapati turut menyanyikan lagu itu, Garro menggesa Messi yang ramai menganggap antara pemain terhebat sepanjang zaman segera meminta maaf.
Presiden Argentina Javier Milei kini memecat Garro hanya beberapa jam selepas dia memberikan komen di stesen radio Argentina Urbana Play.
Kenyataan berbunyi: 'Pejabat Presiden menegaskan tiada kerajaan berhak memberi arahan kepada skuad kebangsaan Argentina yang muncul juara Piala Dunia dan juara Copa America dua kali berturut-turut sama ada apa yang perlu difikir atau dilakukan. Itu sebabnya Julio Garro dipecat.'
Garro pula percaya insiden itu menampakkan Argentina buruk di mata dunia selepas menjuarai Copa America yang banyak pihak mengkritik cara keraian mereka.
"Saya fikir Messi perlu keluar dan menawarkan permohonan maaf sepatutnya dan juga Presiden Persekutuan Bolasepak Argentina [Claudio Tapia]," kata Garro kepada Urbana Play.
-myMetro
No comments:
Post a Comment