NIBONG TEBAL: Kemenangan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) pada PRK N.20 DUN Sungai Bakap merupakan referendum rakyat kepada Kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan tekanan hidup yang dirasai ketika ini.
Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali melihat isu yang gagal ditangani tersebut telah membangkitkan protes rakyat yang diterjemahkan menerusi undi.
“Ini isyarat yang diberi rakyat khususnya kepada kerajaan kerana gagal menangani masalah rakyat yang terus menerus dihimpit dengan masalah ekonomi, kos sara hidup yang tinggi dan harga barangan yang semakin mahal.
“Malah kenaikan harga minyak diesel juga akan menyebabkan harga barangan keperluan akan meningkat dan memberi tekanan kepada rakyat,” kata beliau mengulas kemenangan PN pada PRK itu.
Beliau menambah, kemenangan PN adalah kemenangan rakyat, malah berkeyakinan Abang Abidin mampu berperanan sebagai penyemak imbang yang terbaik khususnya untuk Seberang Perai Selatan.
“Tahniah kepada Abang Abidin atas kemenangan dengan majoriti besar. Semoga beliau dapat memberi khidmat terbaik kepada rakyat membawa suara penduduk DUN Sungai Bakap ke Dewan Undangan Negeri,” ujarnya lagi.
Ashah yang juga ADUN Merbau Pulas berkata, beliau dapat merasa Abang Abidin akan menang sehari sebelum hari pembuangan undi susulan gelombang sokongan rakyat terhadap PN dilihat begitu positif.
“Saya sudah dapat merasa Abang Abidin akan menang sehari sebelum menjelang hari pengundian dan Alhamdulillah, jangkaan saya itu benar,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/7/2024
No comments:
Post a Comment