Georgetown: Seorang lagi kanak-kanak yang termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus, Muhammad Luth Syauqi, 2, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, hari ini.
Perkara itu disahkan ibunya Nurain Hasnorizal, 25, selepas melawatnya di wad.
"Luth sudah meninggal dunia kira-kira jam 1.24 tengah hari tadi, hilang sudah kesakitannya.
"Jenazahnya dijangka dikebumikan Kampung Banggol Berangan, Labu Besar, Kedah berhampiran pusara abangnya," katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, hari ini.
Harian Metro sebelum ini melaporkan mengenai dua beradik, Muhammad Luth Syauqi dan Muhammad Akil Syauqi yang masing-masing berusia dua dan tiga tahun, kritikal selepas termakan makanan ringan didakwa dicampur racun tikus dalam kejadian di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah, Ahad lalu.
Makanan ringan berupa keropok itu digantung pada pagar dawai dikatakan dipasang pemilik kebun, bertujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanamannya.
Kedua-dua kanak-kanak malang berkenaan dikejar ke HPP selepas menerima rawatan di Hospital Kulim.
Muhammad Akil menghembuskan nafas terakhir pada 8.30 pagi, kelmarin.
-myMetro
No comments:
Post a Comment