Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Jamal Abdillah, 65, kerugian sebanyak RM2 juta akibat kegagalan sebuah syarikat pelaburan yang disertainya membayar dividen serta memulangkan semula wang pelaburan kepadanya.
Penyanyi legenda ini turut meminta kerajaan bertindak tegas terhadap syarikat pelaburan terbabit yang dilihat cuba lari dari tanggungjawab mereka.
Menurutnya, laporan polis juga sudah dibuat kepada unit Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, namun sehingga kini perkara ini belum difailkan di mahkamah.
"Sebelum itu saya dah buat semakan di Suruhanjaya Sekuriti (SC) serta Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapati memang syarikat itu wujud kerana ramai melabur di situ yang dijanjikan dividen lapan hingga 12 peratus setahun.
"Saya pun tertarik dan melabur kira-kira RM2 juta. Tahun pertama, kedua dan ketiga pembayaran dividen okey. Masuk tahun keempat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka tak dapat nak bayar.
"Sampai sekarang dah nak masuk tujuh tahun, ia belum selesai. Saya pun dah buat laporan polis dan pegawai yang mengendalikan kes ini sudah bertukar tiga, empat orang tapi ia belum lagi difailkan di mahkamah," katanya.
Jamal berkata, laporan dibuat di Bukit Aman dan Shah Alam tetapi masih tiada apa-apa tindakan dari Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
"Sekarang ini tinggal lagi meja DPP yang akan failkan. Dah masuk dua tahun laporan dibuat tapi nampaknya tiada apa-apa yang berlaku. Jadi saya harap pihak kerajaan tengoklah kes ini kerana ia seperti 'scammer'.
"Jangan dibiarkan begitu saja kerana ramai yang kena, bukan saja seorang saja. Hampir RM1 bilion mereka kutip termasuk dari syarikat-syarikat besar. Sesetengah dari syarikat ini dah dapat semula deposit bila mereka failkan di mahkamah.
"Saya lewat sikit bertindak, namun harapan saya agar pihak kerajaan buka mata terhadap syarikat-syarikat begini yang ambil wang rakyat yang buat pelaburan ini kerana dia sudah melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara. Ia memang wujud. Jadi apa tindakan kerajaan selanjutnya dan pihak DPP kenalah failkan segera," katanya.
Sementara itu, peguam Datuk Kamaruzaman Arif dari Tetuan Kamaruzaman Arif dan Sofiah yang mewakili Jamal berkata, penyanyi tersohor negara itu membuat laporan polis selepas beliau mendakwa tidak mendapat pulangan pelaburan yang telah dijanjikan oleh ejen dan syarikat pelaburan yang disertainya.
"Pada awal 2018, Jamal diperkenalkan oleh seorang ejen kepada satu skim pelaburan dan dijanjikan pulangan sebanyak 12 peratus setahun.
"Sekitar tahun 2018 sehingga 2020, beliau membuat sejumlah empat kali pelaburan dengan melaburkan sejumlah RM2 juta ke dalam syarikat terbabit.
"Pada 22 Januari 2018, beliau sudah membuat dua pelaburan dimana jumlahnya adalah sebanyak RM1 juta. Tarikh matang bagi kedua-dua pelaburan ini adalah ditetapkan pada 21 Januari 2023," katanya
Menurutnya, jumlah janjian pulangan bagi keseluruhan pelaburan sebanyak RM1 juta ini adalah berjumlah RM600,000.
Namun sehingga ke hari ini, syarikat pelaburan terbabit gagal untuk membuat pembayaran dividen bagi pendapatan tahunan secara menyeluruh dan secara langsung sudah melanggar perjanjian dan terma-terma yang sudah dipersetujui.
"Pada 2020, Jamal sudah membuat dua lagi pelaburan bertarikh 1 Januari dan 23 Januari di mana jumlahnya adalah sebanyak RM1 juta.
"Namun, syarikat pelaburan terbabit juga sudah gagal untuk membayar janjian pulangan tahunan bagi pelaburan yang sudah dilakukan ini dan oleh yang demikian secara langsung sudah melanggar janji janji dan terma-terma pelaburan.
"Jamal seterusnya menerusi satu memo bertarikh 4 Januari 2023 yang dikeluarkan oleh syarikat pelaburan terbabit bahawa mereka sudah menyatakan ketidakupayaan mereka untuk membayar pulangan sasaran tahunan pelaburan kononnya disebabkan keuntungan syarikat sudah terjejas akibat Covid-19," katanya.
Bagaimanapun semakan yang dibuat ke atas akaun dan prestasi kewangan syarikat terbabit dipercayai bahawa mereka sudah mendapat keuntungan pada tempoh material dan bukan kerugian.
"Menurut laporan polis yang dibuat Jamal, alasan mereka bertentangan dengan janji-janji yang dibuat sewaktu menarik beliau menyertai skim pelaburan itu. Jamal kini menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan pihak yang sewajarnya untuk menyiasat kes ini," katanya.
-myMetro
No comments:
Post a Comment