EAST RUTHERFORD, Amerika Syarikat: Lionel Messi menemui sasaran ketika juara dunia, Argentina menewaskan Kanada 2-0 sebentar tadi untuk mara ke final Copa America dan di landasan tepat untuk menang tiga gelaran utama berturut-turut.
Juara bertahan Copa itu akan menentang pemenang pertemuan satu lagi separuh akhir esok antara Uruguay dan Colombia dalam aksi paling dinantikan pada final di Miami.
Juara Copa 15 kali itu menampilkan aksi terbaik dalam kejohanan di depan kira-kira 82,500 penonton di Stadium MetLife sama seperti ketika menang Piala Dunia 2022 ketika skuad berkenaan mencapai kemuncak pada saat yang sempurna.
Kanada, yang mengejutkan banyak pihak dengan mara ke kelompok empat terakhir pada penampilan pertama di Copa America, boleh dipuji namun Messi dan rakan sepasukan jelas berada pada tahap terlalu jauh di depan.
Skuad kendalian Jesse Marsch mara dengan menewaskan pasukan lawan hasil kerja keras sejak awal namun selepas percubaan pemain sayap kiri, Jacob Shaffelburg yang tersasar, skuad dari Amerika Selatan itu mengawal permainan dan tidak pernah berputus asa.
Rodrigo De Paul mencipta peluang pada minit ke-22 apabila menerima bola berhampiran kawasan tengah sebelum mengumpan buat Julian Alvarez.
Penyerang Manchester City itu yang kembali ke kesebelasan utama menggantikan Lautaro Martinez, mengawal dari asakan Moises Bombito dan mendapat sedikit ruang untuk meledak.
Gandingan Angel Di Maria, Messi dan De Paul, sentiasa menjadi ancaman buat pertahanan Kanada.
Jurulatih Kanada, Marsch memerlukan banyak kerja pada rehat separuh masa pertama bagi memastikan pasukan berada pada tahap yang sama selepas juara dunia itu menggandakan kelebihan enam minit selepas permainan bersambung.
De Paul membawa bola sebelum diberikan kepada Enzo Fernandez yang sepakannya sampai kepada Messi di depan pintu gol.
Buat seketika Kanada berharap Messi berada dalam kedudukan ofsaid namun VAR menunjukkan pertahanan, Derek Cornelius berada lebih ke bawah.
Dua gol berkenaan kekal dan Argentina tampak mengurangkan asakan dan menyimpan tenaga ketika Kanada mula merencana sesuatu.
Hanya selepas minit-minit akhir Kanada berupaya menyukarkan Emiliano Martinez ketika pemain gantian, Tani Oluwaseyi memaksa penjaga gol itu menyelamatkan cubaannya.
Namun ia kejayaan selesa buat skuad kendalian Lionel Scaloni dan kini mereka hanya selangkah untuk meraih gelaran Copa America ke-16. - AFP
No comments:
Post a Comment