Teknologi Revolusi Industri (IR 4.0) terutama penggunaan kepintaran buatan AI seperti ChatGPT (Generative Pre-training Transformer) kini menjadi aplikasi popular terutama dalam dunia pendidikan.
Menerusi ChatGPT ini, ia dapat membantu terutama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dalam pelbagai cara termasuk memahami dan menyelesaikan tugasan dengan menjawab soalan, memberikan penjelasan serta menjana contoh masalah atau penyelesaian.
Tidak dinafikan, ChatGPT turut membantu pelajar menghasilkan kerja yang kelihatan logik dan rasional.
Namun, penggunaan berlebihan boleh mengakibatkan kebergantungan yang amat tidak sihat.
Pelajar juga mungkin akan kehilangan keupayaan untuk berfikir secara kreatif dan kritis serta kemampuan untuk menyelesaikan masalah secara bebas akan terhakis.
Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Madya Dr Hafizul Fahri Hanafi berkata, kebergantungan kepada ChatGPT boleh mengakibatkan pelajar terperangkap dalam pemikiran yang terhad, dengan hanya mampu beroperasi dalam lingkungan 'prompt' yang diprogramkan.
Lebih membimbangkan katanya, pergantungan kepada ChatGPT boleh mendedahkan pelajar kepada pemikiran tanpa batasan yang tidak semestinya membawa kepada nilai positif.
"Pangkalan data yang menjadi asas kepada ChatGPT mengandungi pelbagai campuran nilai, termasuk nilai negatif.
"Tanpa kemahiran pemikiran kritis yang kukuh, pelajar mungkin tidak dapat membezakan antara maklumat sahih atau meragukan.
"Oleh itu, adalah penting pendidik dan pelajar memahami cara menggunakan ChatGPT dengan bijak, berpandukan kepada asas nilai dan etika yang ditetapkan oleh institusi pendidikan," katanya.
Bukan itu saja, kata Dr Hafizul Fahri, pengajar terutamanya perlu mengambil pendekatan lebih proaktif dalam memantau penggunaan mekanisme AI.
"Ini kerana matlamat kita seharusnya dapat mengintegrasikan teknologi ini sebagai alat sokongan, bukan pengganti kepada pemikiran dan minda manusia.
"Penggunaan yang tidak terkawal boleh mengakibatkan kemerosotan dalam kemahiran berfikir kritis serta penyelesaian masalah yang menjadi asas kepada pendidikan berkualiti," katanya.
Katanya, kebergantungan pelajar terhadap ChatGPT membawa implikasi yang mendalam kepada pelajar bukan sahaja ketika pengajian, tetapi juga selepas menamatkan pengajian.
Malah, kajian di United Kingdom menunjukkan kemerosotan ketara kemahiran menulis dalam kalangan pelajar.
"Ini mencerminkan trend yang lebih membimbangkan iaitu pengurangan keupayaan berfikir secara lebih kreatif dan kritis.
"Seterusnya, pelajar yang terlalu bergantung kepada ChatGPT ini mungkin akan kehilangan motivasi untuk melakukan penyelidikan atau mengembangkan pemikiran sendiri dalam tugasan yang diberikan kerana sudah terbiasa dengan norma jawapan pantas yang disediakan AI," katanya.
Bagaimanapun, kesan jangka panjang pula menunjukkan sesuatu kesan lebih menarik. Jika dilihat dari pandangan positif, pelajar yang mahir menggunakan ChatGPT mungkin kelihatan lebih menonjol dalam persekitaran kerja tertentu, terutama dalam industri yang memerlukan output pantas seperti bidang kejuruteraan dan teknologi.
Namun, kelebihan ini mungkin hanya bersifat sementara kerana timbul persoalan sama ada graduan ini benar-benar memiliki kefahaman dan kemampuan yang baik bagi penyelesaian masalah lebih kompleks dalam alam pekerjaan.
Mengulas bagaimana untuk mencegah pelajar daripada penyalahgunaan kepintaran AI seperti ChatGPT ini, Dr Hafizul Fahri berkata, ia memerlukan pendekatan lebih holistik serta proaktif daripada sekadar memberikan pendedahan awal mengenai panduan etika.
"Kebergantungan pelajar kepada ChatGPT sering berpunca daripada tekanan untuk menghasilkan kerja dengan cepat atau ketidakyakinan terhadap kemampuan diri sendiri.
"Oleh itu, perubahan paradigma dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran adalah penting. Institusi pendidikan juga perlu mengkaji semula kurikulum dan kaedah penilaian untuk menggalakkan pemikiran kreatif dan kritis.
"Bukan sekadar dalam bentuk hafalan dan proses kerja yang boleh direplikasi oleh AI, malah boleh mengambil langkah untuk memasukkan dan menambah elemen berasaskan projek bagi penyelesaian masalah dunia sebenar," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Bahasa Melayu, Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan & Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Siti Nurul Jannah Fital berkata, dalam mencegah pelajar menyalahgunakan ChatGPT, ia berkaitan dengan sikap.
Katanya sebagai tenaga pengajar, pihaknya hanya mampu menasihati dan cuma mengubah mengubah persepsi pelajar supaya tidak bergantung dengan AI dalam menghasilkan tugasan.
"Perlu disematkan dalam jiwa pelajar bahawa gejala ini sekiranya tidak dikawal akan melahirkan graduan yang kurang kompeten," katanya.
Dr Siti Nurul Jannah berkata, penggunaan ChatGPT tanpa etika, tanpa pengawasan dan peraturan akan menyuburkan budaya plagiarisme dalam kalangan pelajar khususnya di institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, dalam konteks pengajian Bahasa Melayu khususnya, beliau melihat ChatGPT menghakis keterampilan berbahasa pelajar khususnya kemahiran menulis dan bertutur.
"Pelajar mampu menghasilkan penulisan esei yang baik apabila tugasan itu diberi secara dalam talian, tetapi apabila dilakukan dalam bilik kuliah tanpa bantuan AI, kita dapat lihat kelemahan mereka.
"Malah, pelajar juga tidak dapat menghasilkan penulisan yang kritis. Olahan ayat juga cacamarba dan penulisan tiada pertatutan.
"Begitu juga apabila ujian lisan dilakukan secara fizikal dalam bilik kuliah.
"Kebanyakan pelajar lemah untuk memberikan hujah mengenai sesuatu isu atau topik secara kritis, walaupun kadang-kadang topik itu sangat biasa. Untuk bercakap dalam tempoh lima minit pun tidak mampu, hujahan mereka dangkal dan pemilihan kosa kata juga terhad," katanya yang juga mengajar Bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment