KUALA LUMPUR: "Kajian menunjukkan buli siber mempunyai risiko yang lebih tinggi kepada cubaan untuk bunuh diri berbanding jenis buli lain," kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Jabatan Kesihatan Komuniti, Kuliah Perubatan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhammad Adil Zainal Abidin.
Beliau berkata, berbanding dengan buli fizikal, bentuk buli siber seperti komen negatif atau ugutan maya yang kekal di laman sosial menyebabkan impak berterusan kepada mangsa.
"Segala jenis buli boleh mengganggu emosi seseorang seterusnya menyebabkan kemurungan, termasuklah buli siber.
"Identiti pembuli yang tidak diketahui dan maklumat peribadi mangsa yang terdedah menyebabkan gangguan terhadap emosi akan menjadi lebih tinggi.
"Jika seseorang itu pempengaruh, 'screen time' yang lebih lama menyebabkan mereka lebih terdedah kepada buli siber ini," katanya kepada BH hari ini.
Dalam pada itu, Dr Muhammad Adil berkata, pendidikan dalam kalangan remaja di sekolah antara platform dan permulaan yang terbaik untuk meningkatkan kesedaran mengenai buli siber.
"Antaranya seperti pengenalan subjek atau modul yang khusus bagi meningkatkan kesedaran dan 'resilient' di kalangan remaja kita kerana penggunaan media sosial bermula daripada kanak-kanak. Jadi, mereka perlu didedahkan dari peringkat awal.
"Selain itu, pengguna media sosial juga perlu menjaga identifi peribadi di media sosial, dan menetapkan mod privasi untuk mengelakkan ancaman buli siber ini," katanya.
Sementara itu, Ketua Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang juga Pakar sosial, Datuk Prof Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata kehadiran media sosial tidak dapat dibendung dan kegunaannya terbuka kepada semua pengguna tidak mengira usia.
Justeru, katanya antara langkah yang boleh diambil oleh seseorang untuk mengelakkan diri daripada terdedah kepada buli termasuk mengasingkan diri daripada media sosial.
"Menyedari keadaan manusia yang lemah, mengasingkan diri daripada media sosial adalah langkah yang wajar diambil.
"Jangan buka atau tengok apa-apa komen (di media sosial) kalau kita tidak mempunyai ketahanan yang kuat terhadap cemuhan, kecaman atau kata-kata negatif," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment