NIBONG TEBAL: “Pengundi di Sungai Bakap dapat menilai dengan baik tindakan yang dilakukan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan rakyat berhak menghukumi mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) pada esok, Sabtu (6 Julai) dengan memilih calon PERIKATAN NASIONAL (PN), Abidin Ismail.”
Ketua Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang, Maziah Khamis berkata, demi membeli undi di PRK Sungai Bakap, ketika berucap dalam Majlis Kasih Bersama Pemimpin di Sungai Kecil, Sungai Bakap baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sanggup menjanjikan dua projek besar di DUN tersebut, sekiranya PH memenangi PRK berkenaan.
“Umpan sebegini sudah menjadi kebiasaan bagi kerajaan sekarang apabila berlakunya pilihan raya di mana-mana kawasan.
“Hal ini menunjukkan kerajaan PH-BN ini sentiasa memancing undi di saat-saat terakhir dengan cara janji manis projek mega di kawasan tersebut seperti mana yang turut berlaku di Sungai Bakap ini.
“Cara kerajaan PH-BN ini sebenarnya diklasifikasikan salah satu bentuk rasuah kerana tawaran tersebut bertujuan untuk mempengaruhi para pengundi,” katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan dua projek yang dijanjikan oleh Timbalan Perdana Menteri itu ialah pembinaan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan sekolah tamil di Sungai Bakap sekiranya kerajaan PH-BN memenangi kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan. – HARAKAHDAILY 5/7/2024
No comments:
Post a Comment