Gambar hiasan – foto FB Langkawi Unesco
KUALA LUMPUR, 17 Jan 2024 – Dua syarikat merancang untuk menjalinkan usahasama bagi membangunkan ‘forest chalet’ atau pembangunan berkonsepkan ekopelancongan di Langkawi.
Syarikat itu ialah BDB Land Sdn Bhd iaitu anak syarikat Bina Darulaman Bhd (BDB) dengan Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd.
Kedua syarikat berkenaan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) hari ini, bagi bekerjasama membangunkan sektor ekopelancongan di pulau itu.
Pada majlis MoU itu, BDB Land diwakili Pengarah Eksekutif BDB, Raja Shahreen Raja Othman, manakala Enfiniti Escapes (M) Sdn Bhd diwakili Presiden Enfiniti Group of Companies, Puan Sri Tiara Jacquelina.
Raja Shahreen berkata, ekopelancongan itu akan dibangunkan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang, Langkawi.
Kata beliau, cadangan pembangunan itu adalah di kawasan seluas 4.04 hektar, yang mana BDB Land akan menjalankan kajian pelan ukuran terperinci di kawasan yang akan dikenal pasti untuk dibangunkan.
“Manakala Enfiniti Escapes akan memfokuskan konsep keseluruhan serta reka bentuk pembangunan berdasarkan kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak BDB Land.
“Bagi memastikan pembangunan ini sejajar dengan matlamat pemuliharaan dan kemampanan alam sekitar, BDB Land akan bekerjasama dengan FRIM Incorporated Sdn Bhd bagi mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran mereka,” katanya.
Turut hadir, Pengerusi Enspire Ventures, Tan Sri Mohd Effendi Norwawi; Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah; dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah, Datuk Isahak Murat.
Dalam pada itu, Raja Shahreen berkata, kerjasama itu juga merupakan satu lagi usaha berterusan yang akan dilaksanakan BDB menerusi BDB Land bagi mewujudkan tarikan baharu di Langkawi, yang mana secara tidak langsung dapat membantu kerajaan negeri membangunkan lagi pulau peranginan berkenaan.
“Dengan kerjasama terbaharu ini, diharap bakal melonjakkan lagi nama serta memberi nilai tambah baharu kepada Darulaman Sanctuary dan Langkawi terutama melibatkan sektor ekopelancongan kepada pelancong tempatan serta luar negara,” katanya.
Sementara itu, Tiara Jacquelina berkata, pihaknya berpendapat kawasan di Darulaman Sanctuary, Lubuk Semilang itu dapat menjadi daya tarikan baharu yang boleh ditawarkan kepada orang ramai, sama seperti di Tiarasa Escapes, Janda Baik di Pahang, lapor Bernama.
“Pemerhatian saya mendapati di Langkawi masih belum ada ‘forest chalet’ seperti di Tiarasa Escapes, jadi ia satu peluang yang baik dan konsepnya juga adalah berlainan. Kita akan kaji untuk lihat apa jenis produk ekopelancongan yang sesuai dibina di sini,” katanya. – DagangNews
No comments:
Post a Comment