PETALING JAYA: Pemain naturalisasi negara, Paulo Josue mahu rakan sepasukan melupakan kekalahan kepada Jordan dan kembali fokus untuk berdepan Bahrain dalam perlawanan kedua Piala Asia 2023 menentang Bahrain, Sabtu ini.
Josue yang dibawa masuk pada separuh masa kedua ketika Harimau Malaya tumpas 0-4 kepada Jordan berkata, skuad negara masih mempunyai peluang untuk layak ke pusingan 16, namun dengan syarat menang ke atas Bahrain.
Katanya lagi, barisan kejurulatihan Harimau Malaya telah membuat analisis video mengenai perlawanan dengan Jordan untuk cuba memperbaiki kelemahan untuk aksi seterusnya menentang Bahrain di Stadium Jassim Bin Hamad.
“Kesemua pemain perlu fokus untuk perlawanan kedua kerana kami tetap ada peluang (untuk mara ke pusingan 16 terbaik),” kata pemain kelahiran Brazil itu seperti yang dilaporkan portal Flash Sukan.
Mengulas lanjut, Josue yang meledak empat dalam sembilan penampilan bersama Harimau Malaya turut mengakui skuad negara berdepan tugas sukar untuk menjinakkan Bahrain yang berada di ranking ke-86 dunia ketika ini.
Malaysia tidak pernah menang ke atas Bahrain selepas kali terakhir menumbangkan skuad The Reds itu pada 1978 dan selepas itu kedua-dua pasukan sudah bertemu 12 kali dengan Harimau Malaya gagal melakar kemenangan seri tiga kali dan kalah tujuh kali.
Pertembungan terakhir adalah pada Kelayakan Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia tewas 1-2 sebelum bangkit menumpaskan Bangladesh untuk menamatkan badi 43 tahun layak secara merit ke Piala Asia di Qatar ketika ini.
Skuad kendalian Kim Pan Gon akan bertemu Bahrain pada Sabtu ini sebelum bertemu gergasi Asia yang juga juara dua kali Piala Asia, Korea Selatan dalam perlawanan terakhir pada 25 Januari.-UTUSAN
No comments:
Post a Comment