DOHA: Taktikal menggunakan tiga pertahanan pada babak pertama nyata ‘memakan diri’ skuad Harimau Malaya apabila tunduk 4-0 kepada Jordan pada aksi pertama Kumpulan E Piala Asia 2023, sebentar tadi.
Pada aksi di Stadium Al Janoub itu, rembatan menarik dilakukan Mahmoud Al-Mardi menerusi kaki kanan berjaya menemui penjuru kiri gawang yang dikawal Syihan Hazmi untuk memberi gol pembukaan kepada Jordan pada minit ke-12.
‘Penyakit’ melepaskan gol pantas kepada pihak lawan juga terus menghantui skuad kebangsaan dan buktinya Jordan menambah gol kedua enam minit kemudian.
Gol itu diperolehi menerusi sepakan penalti disempurnakan bintang Jordan Musa Al-Taamari selepas Matthew Davies melakukan kekasaran tidak sepatutnya ke atas Yazan Al-Naimat pada minit ke-15.
Jordan hampir memperolehi gol ketiga pada minit ke-25 menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti oleh Musa namun gawang Malaysia diselamatkan dengan keputusan ofsaid menerusi semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Begitupun, menerusi serangan pantas Jordan dari sebelah kiri gawang negara disusuli hantaran lintang Al-Naimat sebelum disudahkan sekali lagi oleh bekas pemain Kedah Darul Aman memberi gol ketiga buat Jordan pada minit ke-32 untuk menutup babak pertama dengan kedudukan 3-0.
Satu-satunya percubaan bahaya dilakukan Harimau Malaya adalah menerusi percubaan jarak jauh daripada Stuart Wilkin pada minit terakhir babak pertama yang hanya sedikit tersasar daripada tiang sebelah kanan penjaga gol Jordan, Yazid Abu Layla.
Bersambung babak kedua, pengendali kebangsaan Kim Pan Gon melakukan perubahan taktikal dengan menggunakan empat pertahanan bagi memberi kestabilan kepada benteng negara yang goyah pada babak pertama.
Perubahan itu nyata mengubahkan prestasi Harimau Malaya yang tampil lebih ‘garang’ sekali gus membuat pertahanan Jordan lebih bekerja keras namun gagal menemui sentuhan gol.
Dalam masa tiga minit skuad kebangsaan berjaya melakukan percubaan tepat iaitu pada minit ke-81 dan 83 menerusi rembatan kencang Paulo Josue dan Safawi Rasid namun dinafikan Yazid.
Namun menerusi satu lagi serangan balas pantas, penyerang Ligue 1 bagi kelab Montpellier itu, berjaya menambah gol kedua peribadinya yang juga jaringan keempat Jordan pada minit ke-85.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia menghuni tangga tercorot kumpulan manakala Bahrain di tangga ketiga, sementara Jordan dan Korea Selatan berada dikedudukan teratas serta kedua.
Malaysia selepas ini akan berdepan Bahrain Sabtu ini sebelum menutup kempen Kumpulan E menentang Korea Selatan pada 25 Januari ini dengan peluang untuk mara ke pusingan kalah mati dilihat sukar.-UTUSAN
No comments:
Post a Comment