Khairuddin Abu Hassan – malayadaily.com
KUALA LUMPUR, 15 Jan 2024 – Kegagalan pentadbiran Anwar Ibrahim dalam usaha memaju dan membangunkan negara mendorong beliau untuk mengalihkan pandangan daripada rakyat dengan memilih topik rasuah.
Pengerusi Mobilisasi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, Perdana Menteri ke-10 itu terpaksa memilih isu rasuah kerana diyakini dapat menaikkan nama kerajaan perpaduan yang disokong DAP dan UMNO.
“Hakikatnya, kerajaan Madani hari ini amat terserlah dengan kegagalan untuk mentadbir negara secara efektif.
“Mereka adalah dalam kalangan pemimpin politik yang selama puluhan tahun sebagai pembangkang dan hanya dapat menubuhkan kerajaan selama 22 bulan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad memimpin Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.
“Pengalaman PH menganggotai kerajaan kali pertama kali pada 2018 tidak mencukupi kerana tempoh pentadbiran yang terlalu pendek waktu itu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Khairuddin menjelaskan, Tun Dr. Mahathir pula secara konsisten menyatakan Anwar tidak mempunyai kualiti dan mutu pentadbiran yang baik.
Waktu itu, kata beliau, ramai rakyat Malaysia tidak faham dengan peringatan ikhlas Tun Dr Mahathir mengenai jatidiri Anwar yang sebenarnya.
“Anwar semenangnya tidak boleh bekerja, tetapi hanya mampu beretorik dan bermain politik saja.
“Sebab itu, hari ini kita lihat kerajaan PH gagal melakukan sebarang pembaharuan, malah situasi ekonomi, politik dan sosial negara juga menjadi semakin parah.
“Selain itu, rakyat sudah mula hilang keyakinan dengan mutu pentadbiran, misi serta visi kerajaan Madani di bawah kepimpinan Anwar,” kata beliau.
Beliau menyatakan, situasi masa kini menggambarkan keseluruhan rakyat semakin resah dengan kegagalan agenda pembaharuan kerajaan Madani yang serba tidak menjadi.
Bahkan, untuk menutup kelemahan itu, Anwar bijak bermain politik bagi mengelabui mata rakyat.
“Dia memilih topik rasuah untuk mempopularkan kerajaan Madani dan secara tidak langsung akan mengalih pandangan rakyat pada kelemahan pentadbirannya.
“Namun, rakyat Malaysia tidak sebodoh itu, mereka bijak membuat penilaian hinggakan ramai mempersoalkan agenda Anwar untuk membanteras rasuah yang disifatkan sebagai ‘wayang’ serta tidak ikhlas.
“Amat jelas agenda PMX melawan rasuah hanya ‘for show’ dan secara terpilih. Contohnya, beberapa nama termasuk Bendahari PKR, William Leong turut dipetik dalam ‘Pandora Paper’, tetapi hanya Tun Daim Zainuddin saja yang disiasat,” ujarnya.
Khairuddin berkata, jika Anwar seorang yang anti rasuah sepertimana diuar-uarkan kenapa melantik Zahid Hamidi seorang pemimpin korup UMNO menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri.
“Tiba-tiba pula sebanyak 48 kes rasuah dihadapi Zahid di mahkamah diklasifikasikan di bawah sebagai DNAA.
“Sedangkan, sebelum PRU15, Anwar dan PKR khususnya mencipta lagu ‘Hoi Ya Hoi Penyamun’ serta bersumpah laknat pada waktu itu menafikan kononnya ada ikatan persefahaman dengan UMNO bagi menubuhkan kerajaan persekutuan.
“Inilah realiti politik PMX sejak puluhan tahun lalu yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri semata-mata tanpa memikirkan dia boleh mentadbir negara ataupun tidak,” katanya.
Menurut beliau lagi, dengan kuasa Allah pada hari ini keseluruhan rakyat Malaysia khususnya bangsa Melayu dapat melihat secara jelas siapa Anwar Ibrahim.
Setiap tindakan Allah, kata beliau, ada hikmahnya pada keseluruhan hamba-hamba-Nya.
“Percayalah, PMX tidak mampu memimpin negara, tetapi kekuatan beliau hanyalah retorik sahaja.
“Setiap ungkapan perkataan yang keluar dari mulutnya hanyalah berunsur penipuan! Penghidupannya penuh dengan nilai hipokrasi serta pembohongan.
“Sesiapa saja yang mengundi dan melantik Anwar Ibrahim bakal dipersoalkan dan berjawab di Padang Mahsyar kelak,” kata Khairuddin.
Beliau juga menjelaskan, isu Anwar Ibrahim bukan masalah politik, tetapi persoalan akidah agama
Islam yang tidak boleh dikompromi sama sekali.
“InsyaAllah, kebenaran demi kebenaran bakal timbul lagi dari semasa ke semasa.
“Sesungguhnya, Allah tidak pernah mungkir janji dan mana-mana hamba-Nya yang Nabi Muhammad tidak mengaku umat pasti tumbang sebagai ‘khalifah’ utama negara.
“Tunggulah, hanya masa dan ketika sahaja yang bakal menentukannya,” katanya. – MalayaDaily
No comments:
Post a Comment