Penggerak majalah ‘Al-Imam’ – foto irfront.net
Hasil potongan jenis ini bukan saja setakat orang ramai atau rakyat jelata saja, bahkan hendaklah juga dipotong dan dikenakan pada anak isteri raja-raja, keluarga bangsawan dan saudagar-saudagar Melayu kerana patut sekali segala kakak-kakak dan ibu-ibu itu menolong belanja adik-adik dan anak-anak.29 Kutipan daripada orang kebanyakan itu hendaklah dijalankan setahun sekali.
Selain daripada syor-syor mengenai belanjawan sekolah-sekolah tersebut, Al-Imam juga mengemukakan syor-syor dan pendapat-pendapatnya mengenai sistem pelajaran persekolahan tersebut. Syor-syor tersebut sebenarnya adalah ditujukan kepada pihak pemerintah dan pentadbiran British. Syor-syor itu ialah.30
a. Murid-murid Sekolah Rendah yang tidak dapat atau tidak berupaya melanjutkan pelajaran ke Sekolah Peringkat Dua maka boleh diberi padanya jawatan peon atau kerani, penghulu, jadi kerani saudagar, jadi guru bantu dalam sekolah rendah.
b. Murid-murid Sekolah Peringkat dua pula yang tidak dapat masuk ke Sekolah Peringkat Tiga maka hendaklah diberi jawatan menjadi penghulu dan jadi kerani Melayu dalam pejabat, juruukur tanah dan jadi guru besar dalam sekolah-sekolah dan barang sebagainya seperti jadi kerani di kapal api atau keretapi.
c. Murid-murid Sekolah Peringkat Tiga jika tidak layak untuk dihantar ke luar negeri maka mereka itu hendaklah diberi kerja-kerja dalam jawatan-jawatan sebagai kerani seperti yang dipegang oleh orang-orang Selon, Cina dan Nasrani yang tahu berbahasa Inggeris dan Belanda masa itu.
d. Murid-murid yang lulus dari luar negara hendaklah mereka itu diserahkan memegang tugas-tugas seperti yang dipegang oleh pegawai-pegawai British atau Belanda masa itu.
Berikutan dengan ini sebuh sekolah yang moden dan lengkap telah didirikan di Singapura. Sekolah yang dimaksudkan itu ialah Madrasah Al-Iqbal yang dibawah naungan Raja Haji Ali Ibn Al-Marhum Ahmadi yang dibuka dengan rasminya pada 21 November 1907.
Dalam ucapan pembukaanya Abdul Jalil bin Raja Abdul Rahman (Riau) telah menyatakan bahawa hari itu merupakan “..Hari Raya permulaan menghidupkan ilmu dengan peraturan pelajaran yang baru.”31
Pihak Al-Imam pula dengan rasa bangga telah mengalu-alukan munculnya sekolah ini dan menggesa supaya golongan orang kaya memberikan bantuan kewangan iaitu seperti mana tauke Cina memberi bantuan kepada sekolah Cina.
Di sekolah ini diajarkan agama Islam, Bahasa Arab, Inggeris dan Melayu, Matematik, Geografi, Sejarah, Khutbah dan karang-mengarang. Ia dilengkapkan dengan asrama dan murid-muridnya boleh memilih sama ada mahu tinggal di dalam ataupun di luar asrama.
Di samping itu kemudahan perubatan percuma juga disediakan, dan seorang doktor khas telah ditugaskan di sekolah tersebut. Namun begitu bayarannya agak mahal sedikit iaitu sebanyak $300/-setahun bagi mereka yang tinggal di asrama dan dua puluh empat ringgit setahun bagi mereka yang tinggal di luar asrama.
Tahun berikutnya pula (1908), Sekolah Rakyat yang pertama telah didirikan oleh Kerajaan Terengganu. Orang yang berusaha mendirikan dan membuka sekolah itu ialah Tengku Embong bin Tengku Ngah dan Che Mat bin Datuk Ibrahim.
Kempen-kempen Al-Imam sedikit sebanyak telah dengan cepat mendapat sambutan daripada golongan yang cepat sedar; di Terengganu itu nampaknya seorang daripada keluarga bangsawan yang pertama menyambut seruan dari kempen tersebut.
Sebenarnya, masyarakat Melayu masih belum faham benar akan sistem pelajaran dan sistem sekolah yang baru sebagaimana diutarakan oleh Al-Imam ini. Pandangan dan fahaman mereka amat konservatif.
Ramai orang Melayu telah mengkritik dengan mengatakan bahawa Madrasah Al_Iqbal itu tiada faedahnya dan semata-mata membuang wang saja.
Ini adalah kerana murid-muridnya dilatih berhias dan berkemas diri dengan pakaian yang bersih-bersih dan elok pula.
Setengahnya pula berfikir bahawa jikalau kanak-kanak itu sentiasa terkurung di dalam sekolah dan asrama maka akal dan fikiran kanak-kanak itu akan binasa dan buntu serta lembap sebab mereka tidak dapat meluaskan pandangan melihat segenap lorong dan pekan.
Dengan ini kanak-kanak itu, kata mereka, bukan akan jadi bertambah pandai tetapi sebaliknya akan jadi semakin bodoh sebab mereka sentiasa bergelumang dengan pelajaran dan buku-buku saja.
Setengahnya pula berkata yang kanak-kanak di situ akan tipis imannya sebab lama-kelamaan “…tak dapat tidak binasalah pengetahuan ulama yang dikenal oleh mereka itu daripada orang yang berserban besar dan penjual azimat.”32 Kritikan dan tuduhan tersebut telah dilemparkan dengan hebatnya kepada Al-Imam.
Pihak Al-Imam pula, sebagai langkah mempertahankan diri dan memberi kepercayaan kepada orang ramai, telah melancarkan serangan balas ke atas golongan Melayu yang dianggap kolot lagi degil ini.
Kata Al-Imam, orang Melayu berasa sayang hendak membelanjakan wang yang sedikit bagi memberi pelajaran anak-anak mereka tetapi mereka tidak ragu-ragu mengeluarkan wang yang banyak untuk istiadat berkhatan dan “setengah mereka itu menghubungkan nikah kahwin dengan anak buahnya dengan maksiat, judi, sabung, ceki dan pakau dan sebagainya dengan membelanjakan makan…”33
Menurut Al-Imam, golongan ulama dan Kaum Tua telah menentang penubuhan sekolah-sekolah di bawah sistem baru tersebut ialah kerana golongan tua itu “takut hilang nikmat mereka itu pada menipu daya akan segala umat kita sebelah sini, sebab jikalau banyak orang yang berilmu dan berpengetahuan di sebelah sini maka leburlah tipu daya mereka itu.
Tatkala itu tiadalah berjalan segala tipu dayanya yang penuh di dalam isi perut mereka itu.”34 Al-Imam lantas menuduh “orang yang berserban besar dan penjual tangkal dan penipu yang berjalan dengan menjinjit tasbih, bercermin mata, bertongkat Panjang….”35 sebagai penipu daya orang Melayu.
Golongan inilah yang telah menyesatkan orang Melayu dalam memahami ajaran-ajaran Islam yang telah membawa mereka terjerumus ke lembah kejahilan dan kegelapan. – Bersambung
29 Ibid. hlm 341
30 Ibid
31 AI-Imam, 4 Februari 1908, hlm 264
32 Al-Imam, 1 Jun 1908, hlm 373
33 Ibid, hlm, 374
34 Ibid, hlm, 375
35 Ibid
- Penulis ialah kelulusan Jabatan Sejarah, Universiti Malaya tahun 1970
-malayadaily.com
No comments:
Post a Comment