OLEH: Dr Idris Sulaiman
Antara musibah besar yang menimpa sebahagian ibu bapa jika mereka hidup dalam keadaan jahil tentang agama sehingga tidak tahu apa tujuan manusia dicipta atas muka bumi ini oleh Allah ﷻ.
Allah ﷻ menyebut tentang golongan ini dalam firmanNya ﷻ:
وَلَقَدۡ ذَرَأۡنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرٗا مِّنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِۖ لَهُمۡ قُلُوبٞ لَّا يَفۡقَهُونَ بِهَا
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk Neraka Jahanam banyak daripada jin dan manusia yang ada hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah).”
[Al-Quran, al-A’raaf, 7:179]
Dinyatakan dalam ayat di atas tentang ‘Manusia yang ada hati tetapi tidak mahu memahami dengannya’ yakni mereka yang hidup dalam keadaan jahil tentang agama.
Bagi ibu bapa ini, keadaannya berbeza sama sekali dalam urusan dunia di mana mereka sangat ambil berat dan memberi keutamaan besar kepadanya sebagaimana firman Allah ﷻ:
يَعۡلَمُونَ ظَٰهِرٗا مِّنَ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا وَهُمۡ عَنِ ٱلۡأٓخِرَةِ غَٰفِلُونَ
“Mereka tahu tentang zahir dunia (tetapi) tidak pernah ingin tahu tentang akhirat.”
[Al-Quran, al-Rum, 30:7]
Mereka sangat tahu tentang dunia, segala urusan dan selok-beloknya manakala urusan akhirat pula mereka tidak ambil peduli sama sekali.
Inilah manusia yang menjadikan dunia sebagai tujuan dan matlamat sehingga mereka berlumba-lumba untuk mengecapi segala nikmatnya.
Mereka melupakan akhirat dan tidak mempedulikannya, seolah-olah ia tidak wujud bagi mereka.
Yakinlah bahawa golongan ini akan rugi serugi-ruginya dan tidak mendapat apa-apa bahagian yang elok apabila tiba Hari Akhirat kelak, nauzubillah.
Ada ibu bapa yang sanggup hantar anak tuisyen dan sekolah khas, termasuk sekolah jenis kebangsaan kerana menganggapnya lebih bagus (kononnya), tetapi pendidikan agama dan solat anak tidak dipedulikan.
Ini tidak wajar.
Daripada Allah jua kita memohon petunjuk dan keteguhan.
No comments:
Post a Comment