KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat menegaskan tidak berniat memalu atau menjatuhkan martabat ahli-ahli Parlimen dengan memaparkan nama mereka di laman web Dewan Rakyat, jika ada yang didapati ponteng.
Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau sudah menyatakan dan faham bahawa ahli-ahli Parlimen mempunyai komitmen masing-masing dan tidak semestinya berada hadir ke Parlimen.
“Memalukan? Saya tidak pernah berniat untuk memalukan. Saya sudah menyatakan ahli-ahli Parlimen ada komitmen, tidak semestinya ada di sini kerana ada tugas lain.
“Baca laporan itu betul-betul… tidak semestinya semua ahli Parlimen harus ada di sini kerana mereka ada tugas lain.
“Namun, (saya beritahu) apa juga cadangan akan dibawa ke jawatankuasa peraturan mesyuarat. Saya sangat jelas, saya tidak bermaksud memalukan anda (ahli Parlimen),” katanya semasa mempengerusikan perbahasan usul Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab hujahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee yang menggesa Johari meneliti semula keputusan mengambil tindakan terhadap wakil-wakil rakyat ponteng mesyuarat Parlimen.
Beliau mempersoal kehendak khusus Parlimen sama ada tindakan tersebut akan melibatkan ahli Parlimen dalam eksekutif atau tertakluk kepada Penyokong-Penyokong Kerajaan (Backbenchers) dan pembangkang.
Katanya, Johari tidak boleh membuat keputusan secara sepihak kerana peraturan mesyuarat Dewan Rakyat juga tidak terlalu rigid dalam menyatakan soal kehadiran dalam Dewan.
“Kehadiran ini subjektif, kerana ahli-ahli Parlimen duduk satu minit keluar dan pulang juga dikira sebagai hadir dalam dewan. Bagaimana anda menafsirkan kehadiran ini?
“Apabila Speaker buat kenyataan di luar dan isu ini jadi panas, kita ahli Parlimen dilihat sebagai ponteng Parlimen tanpa sebab, dan tidak mewakili kehendak rakyat, dan imej perlu dibaiki.
“Anda mahu lihat 222 ahli Parlimen duduk sini? Tidak, ini tidak akan berlaku. Saya setuju ahli Parlimen mesti hadir, tetapi melihat, hukum dan malukan mereka bukan tindakan yang baik mengangkat martabat Parlimen,” katanya.
Semalam, media melaporkan, nama ahli Parlimen yang didapati ‘ponteng’ dengan sengaja sidang Parlimen mungkin akan dipaparkan di laman web Dewan Rakyat dalam tempoh terdekat.
Johari berkata, perkara itu antara penambahbaikan yang akan dilaksana bagi meningkatkan kehadiran ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat kerana mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab terhadap pengundi dan kawasan Parlimen diwakili. – UTUSAN
No comments:
Post a Comment