Penganalisis turut berpendapat pentadbiran Anwar Ibrahim masih dibelenggu ketidakupayaan menunaikan sepenuhnya reformasi institusi dijanjikan.
PETALING JAYA: Sikap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menonjol dan dominan sepanjang tahun pertama kerajaan perpaduan dikhuatiri menenggelamkan peranan anggota Jemaah Menteri lain sehingga mewujudkan jurang, kata penganalisis.
Ahli akademik dan ahli badan penyelidikan turut mempertikaikan janji reformasi institusi dilaungkan Anwar ketika di blok pembangkang yang belum terlaksana seperti menyalur peruntukan sama rata kepada wakil rakyat.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata tidak keterlaluan jika dikatakan populariti kerajaan perpaduan hanya bergantung kepada gaya kepimpinan Anwar.
“Beliau terlalu dominan dan bekerja keras berdasarkan kepadatan jadual kerja,” katanya kepada FMT mengulas pentadbiran Anwar di Putrajaya yang genap setahun pada 24 November.
Anwar mengetuai pentadbiran kerajaan perpaduan yang lahir susulan situasi parlimen tergantung selepas PRU15, menggabungkan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Warisan dan beberapa parti lain.
Hisomuddin turut menyentuh ketidakupayaan kerajaan menunaikan reformasi institusi dan manifesto PH, sehingga membebankan anggota pentadbiran daripada parti lain untuk menjawab kritikan.
Manifesto PH antara lain menjanjikan pemansuhan beberapa akta seperti Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1988, dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Semua ini (pelbagai kritikan) boleh terjawab sekiranya Sekretariat Kerajaan Perpaduan meletakkan jawatankuasa pemantauan agenda dan politik untuk menyelaras manifesto parti berjalan dengan baik,” kata Hisomuddin yang turut menjelaskan isu sara hidup juga masih gagal diatasi sepenuhnya oleh Anwar.
Mazlan Ali, penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berpendapat Anwar di sebalik kritikan berhubung ketidakupayaan melaksanakan reformasi institusi tetapi memberi harapan dengan membawa hala tuju ekonomi jelas.
“Dalam Belanjawan 2024 Anwar membuat komitmen menarik pelabur asing, mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa dan menyediakan belanjawan lestari (kurang defisit tetapi boleh tingkatkan subsidi untuk rakyat),” katanya.
Beliau turut mengingatkan Anwar untuk melakukan rombakan Jemaah Menteri bagi memastikannya bergerak dengan lebih berkesan, seiring dengan misi Anwar.-FMT
No comments:
Post a Comment