Awasilah anak-anak kita yang naif, lurus-bendul, dan bersih agar tidak terjerumus ke dalam kancah kerosakan yang dipaksakan ke atas mereka.
Zaman kanak-kanak memang zaman kepala kita masih bersih, masih putih, dan masih naif. Hal-hal ‘kotor’ kita tidak tahu malah kita langsung tidak mampu membayangkannya. Ketika saya mula boleh membaca dan apabila ternampak berita rogol di suratkhabar, saya hanya terbayang bagaimana seorang lelaki jahat melakukan kekasaran terhadap seorang wanita. Macam yang ditonton di televisyen, perempuan menjerit ketakutan dan lelaki mengejarnya dengan muka yang ganas. Sampai di situ sahaja imaginasi saya. Saya tidak ada idea apa itu rogol. Bagi saya ketika itu merogol dan memukul seseorang tidak ada beza. Naif betul!
Ketika Tingkatan 1, rakan sekelas saya, seorang ‘ah moi’ bertanya kepada guru sains kami, “Cikgu! Jika perempuan beranak, anak keluar dari mana?” amoi ini berusia 14 tahun, sudah remaja. Ya, pelajar Cina dalam kelas kami rata-ratanya lebih tua setahun daripada kami kerana pelajar-pelajar dari sekolah jenis kebangsaan Cina akan berada setahun di kelas peralihan sebelum masuk ke Tingkatan 1 tahun berikutnya.
Seusia begitu pelajar perempuan kelas saya yang kebanyakannya sudah akil baligh pun masih tidak tahu anak keluar ikut mana? Apabila cikgu menjawab, “dari sini” sambil menunjukkan salur rahim di gambarajah alat kelamin wanita, kami semua di dalam kelas ketawa. Pelajar lelaki ketawa terkejut, pelajar perempuan ketawa tersipu-sipu. Kami masih ragu-ragu dengan jawaban cikgu. Begitulah naifnya kami yang tidak tahu apa itu hubungan seks sehinggalah zaman sewa pita video ‘blue film’ sampai ke pengetahuan kami tahun-tahun itu juga. Di situlah kenaifan kami runtuh. Eheh! Biasalah, kan?
Selepas tamat SPM, saya berhijrah ke Kuala Lumpur mencari pekerjaan. Saya mendapat kerja di Petaling Jaya. Dari Wangsa Maju ke tempat kerja saya mengambil bas. Di dalam bas itulah rupanya saya diperhatikan oleh seorang ‘brader’ yang tinggal di kejiranan yang sama dan mengambil bas yang sama. Brader ini akan sengaja duduk di sebelah saya dan menyeksa saya. Jika dia sudah duduk di kerusi lain pun dia akan bangun dan terus duduk di sebelah saya. Saya yang masih naif berasa keliru apa benda yang brader ini mahu sebenarnya?
Merengek-rengek manja dengan saya, cuba mengajak saya ke rumahnya pada hari minggu untuk menonton video. Saya tidak faham sungguh apa pentingnya saya sehingga dia bersungguh-sungguh mahukan saya sehingga terbit rasa meloya. Saya tertekan, bingung, dan tidak tahu hendak buat apa. Umur baru 18, saya tidak tahu tentang hubungan intim yang bertentangan dengan fitrah semulajadi saya itu wujud. Saya masih ingat ketika Tingkatan 5 ada antara kawan-kawan kami meminati band thrash bernama Sodom. Seorang cikgu wanita menegaskan kepada kami maksud nama band tersebut berasal dari nama tempat zaman nabi Luth. Itu kaum Nabi Luth, katanya. Kami bertanya apa salahnya kaum itu? Sebab kami naif.
Jadi, kelakuan brader dalam bas ini saya tak faham apa yang dia cuba kepada saya sehingga seperti memaksa-maksa. Perasaan benci, marah, sedih, dan takut bercampur-baur dalam diri saya. Ia menjadi trauma yang memakan tahun juga untuk saya pulih. Dalam tempoh itu saya akan sentiasa berprasangka terhadap mana-mana ‘brader’ yang baharu saya kenali. Jika kawan saya perkenalkan kepada saya kawan baharu, setiap kali bersalam saya akan berasakan kawan baharu saya itu ‘spesis’ brader dalam bas itu. Saya akan diserang rasa takut pada permulaannya.
Secara peribadi saya tidak mahu campur hal peribadi sesiapa sahaja sama ada orang perseorangan ataupun kumpulan. Saya tidak peduli apa amalan dan cara hidup mereka. Yang saya tolak ialah eksploitasi dan manipulasi yang dilakukan oleh sesiapa sahaja yang kedudukannya lebih kuat terhadap seseorang yang lemah dan naif, tidak kira sama ada dalam bentuk seks mahupun penderaan sepertinya.
Yang menakutkan saya ialah apabila seseorang yang mempunyai kedudukan menggunakan kelebihan tersebut untuk merosakkan orang lain yang lemah, naif, dan suci. Ibu bapa yang mempunyai anak – menghantar anak-anak ke asrama, sekolah, pusat pengajian. Di sana ada ilmu dan di sana juga ada bahaya. Cukup mengerikan apabila yang berbahaya itu adalah orang yang kita sandarkan kepercayaan kepadanya untuk menjaga anak-anak kita.
Awasilah anak-anak kita yang naif, lurus-bendul, dan bersih agar tidak terjerumus ke dalam kancah kerosakan yang dipaksakan ke atas mereka oleh pihak yang kita sangkakan baik tetapi rupa-rupanya berselindung di sebalik topeng mulia!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
No comments:
Post a Comment