Majlis Daerah Besut menolak permohonan kelulusan pelan bangunan dan kebenaran merancang atas beberapa alasan, termasuk gagal kemuka pelan kekal.
PETALING JAYA: Bangunan resort tiga tingkat yang runtuh di Pulau Perhentian semalam dibina secara haram sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan pada 2020, kata Yang Dipertua Majlis Daerah Besut (MDB) Mohd Sukeri Ibrahim.
Beliau berkata pengusaha resort memohon untuk kelulusan pelan bangunan dan kebenaran merancang pada Ogos 2021, tetapi ditolak mesyuarat Jawatankuasa Pusat Setempat (OSC) MDB ke-14 pada 12 Sept 2021 atas beberapa alasan, termasuk gagal mengemukakan pelan kekal.
Katanya pengusaha terbabit juga gagal mendapat kelulusan dasar daripada Unit Perancang Ekonomi serta mengemukakan permohonan kebenaran merancang daripada perancang bandar berdaftar.
Sukeri berkata, ulasan teknikal daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) tidak memperakui kelulusan pelan arkitektural pada 29 Ogos lalu.
“Projek pembinaan bangunan itu dilakukan sebelum pelan kebenaran merancang dikemukakan dan diluluskan,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah MDB belum menerima permohonan baharu daripada pengusaha resort itu sehingga semalam.
Enam pekerja pembinaan terselamat, manakala seorang lagi dikhuatiri tertimbus dalam runtuhan bangunan tiga tingkat itu pagi semalam.-FMT
No comments:
Post a Comment