Johari Abdul berkata, beliau akan mengambil tindakan terhadap sebarang komen yang mempersoalkan kewibawaannya dalam Dewan Rakyat.
PETALING JAYA: Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul berkata, beliau tidak kisah dikritik, asalkan bukan di dalam Dewan.
“Berbeza dengan speaker sebelum ini, saya akan mengambil tindakan terhadap sebarang komen di Dewan Rakyat yang mempersoalkan kredibiliti dan keputusan saya.
“Saya berbeza dengan (speaker) sebelum ini, apa-apa juga yang diungkapkan di dalam Dewan ini yang mempersoalkan kewibawaan dan keputusan saya, saya akan ambil tindakan.
“Namun pun begitu, sesiapa juga boleh hina saya di luar,” katanya kepada RSN Rayer (PH-Jelutong), yang bertanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap pihak yang mengkritiknya di luar Dewan Rakyat.
Pada Jumaat, Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin mempersoalkan kredibiliti Johari sebagai speaker, mendakwa beliau tidak melayan Ahli Parlimen pembangkang dengan adil dalam perbahasan.
Hamzah, yang juga ketua pembangkang berkata, Johari speaker pertama yang tidak mempunyai latar belakang undang-undang. Tambahnya, speaker sebelum ini, Azhar Harun, lebih bagus dalam menjalankan tugas kerana beliau “bukan ahli politik”.
“Kita bukan gesa speaker diganti, cuma mahu beliau adil dan ikut prosedur yang ditetapkan,” kata Ahli Parlimen Larut itu.
Apabila ditanya sama ada beliau merasakan Johari tidak cekap, Hamzah berkata: “Saya tidak boleh kata ya atau tidak, saya cuma rasa beliau tidak adil.”
Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Takiyuddin Hassan mendakwa Johari menghalang Ahli Parlimen pembangkang daripada bertanya kepada menteri tiga soalan tambahan semasa sesi soal jawab, walaupun ini diperuntukkan dalam Peraturan Mesyuarat.
“Hanya dua soalan tambahan dibenarkan,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
“Kami ingin minta, di Parlimen, pembangkang diberi layanan yang sewajarnya berdasarkan perlembagaan.”
Johari hari ini berkata, beliau tidak akan menjadikan tindakan Ahli Parlimen mengkritiknya secara terbuka sebagai suatu isu.
“Boleh panggil saya tak layak, boleh panggil saya tidak berpendidikan,” katanya.
“Saya berkhidmat untuk Dewan ini. Di luar terpulanglah, nak kata saya bodoh ke, tak cerdik ke, tak layak, bukan masalah saya.”-FMT
No comments:
Post a Comment