Sebab itu, timbul spekulasi bahawa serangan Hamas itu sebenarnya hanya alasan yang dicipta zionis untuk memusnahkan Gaza dan seterusnya menawan kawasan tersebut. Yang tersirat daripada yang tersurat, Gaza kini dibom oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kerana pemimpin kejam itu dikatakan mahu melaksanakan ‘Projek Terusan Ben Gurion’.
Laporan terkini Pemantau Hak Asasi Manusia, Euro-Med memaklumkan angka kematian di Semenanjung Gaza akibat pembunuhan beramai-ramai oleh rejim zionis meningkat kepada kira-kira 15,000 mangsa.
Masyarakat dunia menyaksikan kekejaman dan kebiadapan Israel musnahkan sesuka hati apa yang ada di Gaza. Sehinggakan, tidak ada seinci pun tanah yang selamat. Semuanya dibom tentera Israel.
Tak perlulah nak cakap tentang Konvensyen Geneva. Apa lagi peraturan dalam konvensyen itu yang tidak dilanggar oleh Israel? Konvensyen Geneva yang ditandatangani pada 1949 memperjelas hak asas pihak yang terlibat dalam peperangan melibatkan tentera dan orang awam.
Paling jelas dilanggar oleh Israel adalah terhadap mereka yang cedera dan sakit serta mewujudkan perlindungan ke atas orang awam yang berada dalam persekitaran perang. Ini apabila hospital dan khemah-khemah pelarian dibom oleh tentera Israel.
Malangnya, negara-negara Islam semacam bisu dan buta dalam insiden ini. Semua 57 negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pun gagal capai kata sepakat mahu bertindak balas ke atas Israel.
OIC hanya mampu kecam dan gesa gencatan senjata. Tetapi apabila diajak melakukan sekatan ekonomi ke atas Israel, sekat penghantaran minyak dan gas, OIC gagal. Ada negara anggota yang membantah. Inilah menimbulkan kemarahan umat Islam.
Di kala kita menyaksikan saban hari dan setiap detik anak-anak, kaum wanita dibunuh di Gaza, walaupun situasi ini bukanlah asing bagi rakyat Palestin sejak tahun 1948, OIC terus gagal mengambil tindakan keras desak Israel hentikan serangan dan patuhi Konvensyen Geneva.
Barangkali inilah digambarkan dalam hadis Nabi SAW yang bermaksud: Hampir tiba satu waktu di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang yang hendak makan mengerumuni hidangan mereka.
Maka salah seorang sahabat bertanya: “Adakah hal itu kerana bilangan kamu sedikit pada hari itu?” Nabi SAW menjawab: “Bahkan kamu pada hari itu ramai sekali, tetapi kamu umpama buih pada waktu banjir dan Allah SWT akan mencabut rasa gentar terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah akan melemparkan ke dalam hati kamu penyakit wahan.”
Seorang sahabat bertanya: “Apakah penyakit wahan itu wahai Rasulullah?” Nabi SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut mati”. (Riawayat Abu Daud)
Ternyata daripada hadis di atas Rasulullah SAW pernah menyatakan berlakunya keadaan ini kerana kesalahan umat akhir zaman ini yang mempunyai antaranya dua penyakit yang amat kronik, walaupun jumlah umat Islam dalam dunia sekarang adalah lebih I.8 billion (setakat 2015).
Negara-negara Barat sentimen dan tindakan mereka sudah boleh ditelah. Pasti menyebelahi Israel. Dan ini sudah terbukti sejak pendudukan Israel ke atas tanah yang diberkati Allah SWT, Palestin bermula apabila Resolusi 181 mendapat sokongan penuh daripada Amerika Syarikat (AS) dan undian sebanyak 33 undi di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1947.
Walaupun Resolusi 67/19 diluluskan oleh (PBB) pada 4 Disember 2012 berkaitan status Palestin sebagai sebuah negara, hak rakyat negara itu sentiasa dinafikan oleh Israel.
Keadaan ini amat berbeza dengan tindakan negara dunia dalam Perang Teluk semasa pencerobohan Iraq ke atas Kuwait pada tahun 1990. AS mengetuai kempen bersenjata 1990-1991 oleh tentera bersekutu 35 negara sebagai tindak balas kepada Iraq.
Ia dijalankan dalam dua fasa utama: Operasi Desert Shield iaitu pembentukan tentera dari Ogos 1990 hingga Januari 1991 ;dan Operasi Desert Storm iaitu kempen pengeboman udara terhadap Iraq pada 17 Januari 1991. Ia berakhir dengan pembebasan Kuwait pada 28 Februari 1991. Dalam perang ini, PBB turut mengenakan sekatan ekonomi ke atas Iraq.
Tetapi dalam kes kekejaman Israel di Gaza, tiada satu pun tindakan ketenteraan atau sekatan ekonomi dikenakan ke atas negara penjajah itu. Dan seperti biasa, OIC sekadar jadi pertubuhan ‘oh i see’. Jelas double standard Barat apabila melibatkan negara Palestin yang tidak ada apa-apa kepentingan bagi mereka.
Tidak seperti isu Kuwait yang ada banyak minyak. Ketika dua negara Islam ini berperang, kuasa asing sekali lagi mengambil kesempatan menjaga kepentingan mereka sendiri. AS dan sekutunya membantu Kuwait dan Arab Saudi kerana ‘ada udang di sebalik batu’.
Sebenarnya AS dan sekutunya bukan membantu Kuwait dan Arab Saudi, sebaliknya membantu industri pembuatan senjata dan petroleum negara masing-masing.
Dalam mesyuarat khas OIC di Riyadh baru-baru ini, ada saranan untuk kenakan sekatan ekonomi ke atas Israel. Malangnya, tiga negara dikatakan membantah iaitu Arab Saudi, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor berkata, ketiga-tiga negara itu adalah negara teras dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan liga Arab serta mempengaruhi keputusan-keputusan dalam OIC.
Ini kerana kekuatan ekonomi khususnya minyak yang mereka ada. Mereka juga tunduk kepada kuasa Barat dan tak berani bertegas dengan Israel. Malah ada negara yang buka pintu sempadannya menerima pelancong Israel dan turut melakukan hubungan dagang dengan rejim Zionis tersebut.
Selagi negara-negara Islam tidak bersatu, selagi itulah kita hanya mampu melihat saudara seagama kita ditindas dan diperlakukan semahu-mahunya oleh Israel.
MOHD. Radzi Mohd. Zin
Pengarang Berita Utusan Malaysia.
-Anak Sungai Derhaka
No comments:
Post a Comment