PETALING JAYA: Seorang anggota bomba bantuan mengalami kecederaan serius akibat diterkam beruang matahari di Kampung Selengkoh Tengah, Yan, Kedah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yan, Norhamidi Ali berkata anggotanya, Mohd Nizam Hamid, 27, dihantar ke Hospital Yan untuk rawatan lanjut kerana cedera di pergelangan tangan kirinya.
Beliau berkata, pihaknya bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan berhubung kehadiran seekor beruang matahari di kawasan kampung itu pada 10.15 pagi tadi.
“Beruang itu dipercayai datang dari kawasan semak kampung berhampiran,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Ketika dalam proses menangkap beruang itu, katanya, Nizam dipercayai terjatuh dan beruang terbabit menerkam serta menggigitnya sebelum melarikan diri.
Beliau berkata, keadaan Nizam kini stabil, tetapi pihaknya sedang menunggu laporan berhubung kecederaannya dan beliau mungkin dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, beruang yang dipercayai tersesat di kawasan sawah itu ditangkap kira-kira 12.50 tengah hari tadi.
Beliau berkata, beruang betina dengan anggaran berat 90kg itu dipercayai datang dari hutan di Gunung Jerai.
Katanya, beruang itu dipercayai keluar dari habitatnya ketika mencari makanan dan tersesat di kawasan kampung semasa mencari jalan pulang ke hutan.
“Beruang berkenaan berjaya ditangkap menggunakan ubat pelali dengan turut dibantu anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan (RELA),” katanya dipetik Bernama.
Katanya, beruang itu akan dihantar ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) di Sungkai, Perak untuk pemeriksaan lanjut.-FMT
No comments:
Post a Comment