KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata, peluang Umno pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor mungkin lebih cerah dengan ketiadaan bekas pemimpinnya, Noh Omar dan Khairy Jamaluddin.
Terdahulu, Noh dan Khairy dilapor meramalkan peluang Umno untuk memenangi kerusi di PRN Selangor tipis berikutan “gelombang hijau” Perikatan Nasional.
“Mungkin bila mereka tiada dalam parti itu, mungkin peluang bagi parti itu lebih cerah,” kata Fahmi selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai, Bangsar.
Jumaat lalu, Ketua Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin dilaporkan berkata, parti komponen BN negeri sudah memutuskan kerusi yang ingin ditandinginya pada PRN dan akan berbincang secara terperinci dengan Pakatan Harapan (PH).
Terdahulu, Noh yang juga bekas ketua Umno Selangor dilaporkan berkata, berdasarkan keputusan PRU15, Umno kehilangan semua kubu kuatnya di negeri itu, manakala Khairy pula meramalkan saingan sukar untuk Umno mengatasi “gelombang hijau”.
Noh dan Khairy dipecat bulan lalu kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, rundingan pembahagian kerusi di Selangor antara Umno dan PH masih berlangsung.
“Di peringkat parti dalam kerajaan perpaduan, insya Allah saya percaya proses berjalan dengan baik dan akan dirunding. Bila tiba masa nanti akan diumumkan,” katanya.-FMT
No comments:
Post a Comment