Pengenalan Menu Rahmah oleh kerajaan memberi kelegaan kepada warga kota serta individu yang terpaksa berbelanja di luar akibat kekangan masa.
Ia juga sedikit sebanyak meringankan beban penduduk, khasnya di ibu kota, dengan kos sara hidup yang tinggi.
Bagaimanapun, wujud juga tanggapan bahawa menu Rahmah tidaklah 'murah' seperti yang dijangka terutamanya untuk jumlah keluarga yang besar.
Bagi mendapatkan gambaran lanjut, wartawan, Muhammad Saufi Hassan mewawancara Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Mohd Hizam Hanafiah bagi mengulas isu ini.
Menu Rahmah, adakah benar-benar murah dan mampu?
Murah dan mampu itu mengikut pandangan masing-masing. Bagi golongan berada, ia dianggap murah kerana mereka sanggup meminum secawan kopi di berjenama dengan harga berbelas ringgit sebagai contoh.
Bagi golongan pertengahan, ia mungkin dianggap mampu, bagi golongan bawahan, mengikut negeri dan daerah kediaman seperti di kawasan kampung di Kedah, Kelantan atau Terengganu, ia dianggap tidak murah.
Bagi golongan sasaran menu ini seperti di Lembah Klang, bagi saya, ia dianggap mampu bayar, bukan murah.
Mengapa, jika empat sekeluarga makan tengah hari dengan Menu Rahmah, ia tidaklah murah sebenarnya.
Pada pandangan Prof, apakah Menu Rahmah ini berkualiti atau 'tangkap muat'?
Menu Rahmah ini sebenarnya sudah diperkenalkan dahulu oleh kementerian yang sama di bawah kerajaan yang berbeza iaitu Pakej Menu Rakyat 1Malaysia.
Kini ia dijenamakan semula sebagai Menu Rahmah.
Saya fikir kita tidak perlu berpolemik tentang perkara ini, apa sahaja usaha yang baik oleh kerajaan yang memerintah untuk rakyat, ianya perlu disokong.
Saya tidak boleh menyatakan sama ada ia berkualiti atau tidak kerana restoran berbeza mempunyai standard dan kualiti berbeza.
Ini berbeza dengan rangkaian restoran yang mantap seperti jenama francais atau rangkaian restoran terkemuka yang beroperasi di bawah sistem yang sama dan mempunyai SOP yang jelas dalam mengawal kualiti makanan mereka.
Untuk menu rakyat, kita tidak tahu saiz ayamnya atau berapa banyak sayur untuk sepinggan nasi sebagai contoh.
Akhirnya, pengguna yang akan menentukan sama ada ia berkualiti atau tidak.
Adakah ia tangkap muat? Bagi saya ia adalah satu menu ringkas yang disediakan untuk rakyat yang mahukan harga maksimum RM5 berdasarkan citarasa rakyat Malaysia.
Apa yang lebih penting bagi saya adalah, pihak kementerian mempelbagaikan jenis lauk untuk makanan tengah hari di bawah Menu Rahmah ini dan meletakkan standard yang jelas.
Pada pandangan Prof, adakah menu ini akan dicari atau sekadar indah didengar?
Pengguna atau rakyat yang akan menentukan perkara ini.
Ada dua perkara penting.
Yang pertama adalah niat pengusaha restoran yang menyediakan menu ini.
Jika mereka berniat baik untuk menolong dan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan keadaan ekonomi, memiliki ihsan, menyediakan menu ini dengan berkualiti, mengambil sedikit untung dan menyediakan perkhidmatan dengan baik, sampai suatu masa ia akan menjadi menu yang dicari-cari oleh rakyat terkesan dan golongan pelajar.
Keduanya, jika tiada kawalan standard dan kualiti oleh pihak kementerian, akhirnya ia akan menjadi indah didengar.
Melalui aplikasi mobil sebagai contoh (jika kerajaan serius), pihak kerajaan mampu memantau kualiti menu disediakan berdasarkan pandangan pengguna.
Bagaimana pula dengan penyertaan pengusaha kedai makan atau restoran?
Saya tidak terbabit dalam rundingan oleh pihak kerajaan dengan mereka ini, jadi saya sukar menjangka tentang tujuan pengusaha ini.
Apapun yang penting adalah, pertamanya ia pernah dibuat sebelumnya, kemudian 'hilang' akibat pertukaran kerajaan yang memerintah.
Pihak kementerian sudah pasti mempunyai laporan dan kajian tentang keberkesanan dan kelemahan program sebegini, maka usaha penambahbaikan perlu dilakukan untuk Menu Rahmah.
Yang keduanya, penyertaan sekitar 15,000 kedai makan atau restoran untuk melaksanakan Menu Rahmah ini adalah besar, maka jika ia dilaksanakan dengan baik, semakin banyak restoran atau kedai makan yang terbabit, liputan yang lebih menyeluruh (di kolej, universiti, lokasi tumpuan orang ramai), kemasukan food truck dalam menyediakan Menu Rahmah, semakin banyak menu yang terbabit (pagi, petang dan malam), dengan dasar yang jelas, kawalan standard yang optimum, ia boleh menjadi satu program yang berjaya membantu rakyat dan golongan yang memerlukan.
Mungkin setiap pekedai ada kuota untuk menu ini dan menghentikan jualan jika kuotanya sudah penuh. Bagaimana Prof melihat perkara ini?
Perkara ini adalah subjektif dan bergantung kepada setiap pengusaha.
Pengusaha tertentu di Lembah Klang atau bandar besar, mungkin menanggung kerugian untuk Menu Rahmah kerana kos pekerja dan kos lain yang tinggi, maka, kuota bagi mereka ini adalah perlu dan persetujuan mereka untuk terbabit dalam membantu adalah satu perkara yang perlu dipuji kerana sekurang-kurangnya, masih ada menu untuk golongan memerlukan di restoran mereka.
Bagi sesetengah tempat lain, Menu Rahmah mungkin menyumbang sedikit keuntungan, jadi terpulang sama ada mereka mahu memiliki kuota atau tidak kerana strategi dan sifat sesebuah perniagaan adalah unik dan berbeza.
Namun apa yang tidak mustahil adalah kita berharap suatu hari kelak, wujudnya jenama restoran yang menghidangkan Menu Rahmah dalam semua menunya.
Ini kerana, dalam industri seperti penerbangan dan peruncitan, kita memiliki jenama-jenama 'harga murah atau mampu' berdasarkan strategi yang betul, permintaan yang tinggi dan struktur kos yang diminimumkan.
Sasaran Menu Rahmah membabitkan B40 dan golongan lain yang memerlukan. Sesuai atau umpama meminggirkan golongan lain?
Saya fikir itu hasrat asal pihak kerajaan iaitu membantu golongan B40 dan memerlukan, maka ia tidak salah dan amat disokong.
Namun kerajaan tidak memberikan subsidi ke atas program ini, maka manfaatnya berbalik kepada pengguna, maka kerajaan tidak boleh mengawal sesiapa yang ingin menikmati menu ini, apatah lagi kerajaan menanggung kos tadbir urus yang minimum.
Oleh itu, tidak salah jika golongan lain ingin menikmati menu ini dan akhirnya ia berbalik kepada konsep willing buyer, willing seller.
Apapun program kerajaan, ia memerlukan dasar dan tadbir urus yang jelas, sasaran dan jangkaan hasil yang betul, penambahbaikan berterusan dan kajian semula dalam tempoh tertentu.
Saya berharap kementerian dan pengusaha yang terbabit serius dan memberikan komitmen mereka dalam menjayakan program ini.
-myMetro
No comments:
Post a Comment