Seorang Ahli Parlimen (MP) PKR, Hassan Karim menggesa supaya kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menunaikan janjinya berhubung isu reformasi institusi.
MP Pasir Gudang yang agak kritikal terhadap kerajaan campuran kerana dilihat membuat keputusan membelakangi prinsip yang diperjuangkan selama ini dipetik berkata sepatutnya Perdana Menteri mengambil langkah dengan menunaikan janji untuk meletak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bawah bidang kuasa Parlimen.
“Tak elok apabila dah menang lupakan janji. Mungkir janji sekali, sampai bila-bila rakyat tak percaya lagi,” katanya dipetik menurut laporan FMT.
Hassan mengingatkan bahawa Anwar sering bercakap tentang tadbir urus dan tata kelola kerajaan yang baik, serta membanteras rasuah, ketirisan, dan pecah amanah.
“Cakap-cakap itu tidak ada makna jika reformasi tidak dilakukan,” katanya.
Untuk rekod, reformasi sistem antara janji yang dibuat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Maka saya tanpa kompromi menuntut Anwar dan kerajaan perpaduan pimpinannya supaya memenuhi janji PH dalam manifesto pilihan rayanya,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bahawa kerajaan sehingga kini belum berbincang untuk meletakkan SPRM bawah bidang kuasa Parlimen.
Menteri itu ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk meletakkan SPRM bawah Parlimen selepas Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, menuduh Putrajaya menggunakan badan anti-rasuah itu sebagai alat politik.
Selepas SPRM membekukan akaun Bersatu baru-baru ini, Hamzah mendakwa, tindakan itu bertujuan memusnahkan kredibiliti parti dan Perikatan Nasional (PN).
Hassan merupakan salah seorang ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah yang dilantik Agong bagi tempoh 2021-2024. Jawatankuasa itu diberi peranan untuk menasihati perdana menteri mengenai aspek masalah rasuah dan memeriksa laporan tahunan SPRM, antara lain.
-Agenda Daily
No comments:
Post a Comment