KUALA LUMPUR: Tokoh industri automotif negara yang juga Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, meninggal dunia semasa mengerjakan ibadah umrah di Makkah.
Aishah, 71, berkecimpung dalam industri automotif negara sejak lebih 30 tahun lalu, dengan jawatan terkini sebagai Pengarah Hal Ehwal Korporat (Kumpulan Automotif), Sime Darby Motors Division Sdn Bhd.
Beliau juga menyandang tugas sebagai Perunding Kanan di Hyundai-Sime Darby Motors.
Atas kredibiliti dan pengalaman yang meluas dalam industri ini, beliau dilantik sebagai Presiden MAA sejak Januari 2000 sehingga kini.
DRB-Hicom dalam kenyataannya berkongsikan rasa sedih di atas pemergian Aishah.
Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM, Tan Sri Syed Faisal Albar, berkata Aishah adalah seorang yang gigih dalam industri automotif dan memberikan sumbangan besar kepada industri permotoran Malaysia sepanjang kerjayanya.
"Datuk Aishah amat sukar diganti dan legasinya akan mencerminkan impak segala usaha yang dilaksanakan di dalam industri yang beliau sangat cintai," katanya menerusi kenyataan itu.
Beliau menambah, visi, dan dedikasi Aushah dalam menguruskan MAA memberi impak yang berkekalan kepada industri, dan beliau akan dikenang sebagai pemimpin yang tidak mengenal erti penat lelah demi perkembangan dan pembangunan sektor automotif di Malaysia.
"Pemergian beliau adalah satu kehilangan besar kepada industri dan seluruh masyarakat," katanya.
-BH Online
No comments:
Post a Comment