KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak merancang untuk memansuhkan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40, buat masa ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata berdasarkan unjuran awal PTPTN, cadangan pemansuhan hutang pinjaman kepada golongan itu akan membabitkan 1.84 juta peminjam, dengan jumlah pelupusan hutang sebanyak RM42.34 bilion.
"Bagaimanapun, kerajaan sentiasa prihatin dan memberi perhatian kepada peminjam PTPTN dan kemudahan membayar balik pinjaman.
"Sehingga kini, terdapat pelbagai cara dan inisiatif dilakukan dalam usaha memudahkan peminjam daripada golongan itu, antaranya penangguhan bayaran balik jika menyambung pengajian atau belum mendapat pekerjaan dan penstrukturan semula bayaran balik pinjaman mengikut kemampuan.
"Selain itu, pemberian diskaun bayaran balik jika dilakukan bayaran secara sekali gus dengan penuh dan bayaran balik hanya bermula selepas 12 bulan peminjam menamatkan pengajian bagi memberi ruang membuat persediaan sewajarnya serta memperoleh pendapatan yang stabil sebelum memulakan bayaran balik," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai bila Program Pemansuhan Hutang PTPTN bersasar kepada golongan miskin dan isi rumah B40 akan mula diperkenalkan dan jumlah penerima manfaat.
-BH Online
No comments:
Post a Comment